KUALA LUMPUR- Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah Datuk Dr Aliakbar Gulasan berpandangan, bahawa perkembangan di sekitar Pulau Balabac mutakhir ini dan persaingan kuasa besar di rantau berkenaan perlu dilihat sebagai peringatan awal kepada Malaysia untuk memperkukuh keupayaan sendiri, khususnya dalam menjaga keselamatan Sabah.
Adun Karambunai itu mengingatkan, beliau tidak mahu Sabah menjadi medan persaingan kuasa besar.
“Kita juga tidak mahu tuntutan terhadap Sabah dipandang ringan.
“Namun, kita tidak mahu bertindak secara melulu sehingga menjejaskan hubungan baik Malaysia dengan negara jiran.
“PN Sabah menyeru Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah supaya melihat perkembangan ini sebagai satu peluang untuk memperkukuh Sabah sebagai wilayah yang aman, selamat, makmur dan berdaulat dalam Malaysia,” katanya dalam kenyataan media pada Rabu.
Ini susulan laporan media baru-baru ini yang melaporkan, Malaysia sedang bersiap memperkukuh benteng pertahanan Sabah susulan peluasan kemudahan ketenteraan Filipina di Pulau Balabac, yang menempatkan lapangan terbang, infrastruktur maritim dan akses tembakan tepat jarak jauh kira-kira 50 kilometer dari wilayah Malaysia.
Menurut Defence Security Asia, perkembangan itu tidak bermakna Malaysia menganggap Filipina, Amerika Syarikat atau China sebagai ancaman, sebaliknya mencerminkan kebimbangan bahawa peningkatan aset ketenteraan di utara Borneo boleh memendekkan tempoh amaran serta meningkatkan risiko salah perhitungan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia “tidak mampu menandingi skala kemudahan ketenteraan dan udara yang sedang dibangunkan di Balabac,” namun menegaskan bahawa “sekurang-kurangnya keupayaan asas pertahanan negara mesti diperkukuh.”
Kedudukan Balabac yang hanya dipisahkan daripada Sabah oleh sebuah selat sempit menjadikan pembangunan infrastrukturnya persoalan strategik kerana pesawat, kapal, penderia dan senjata tepat yang beroperasi di situ mampu mempengaruhi Laut China Selatan serta Laut Sulu serentak.
Pulau berkenaan merupakan antara sembilan lokasi di bawah Perjanjian Kerjasama Pertahanan Dipertingkatkan (EDCA), yang membolehkan akses bergilir tentera Amerika Syarikat, penempatan awal peralatan, latihan bersama dan penambahbaikan infrastruktur.
Walaupun kemudahan itu kekal dimiliki dan dikawal Filipina, landasan, pangkalan laut, gudang serta pusat perintahnya berpotensi berfungsi sebagai hab logistik tersebar bagi menyokong pergerakan tentera, pengawasan, bantuan kemanusiaan dan operasi tempur berpanjangan.
Dalam latihan Balikatan pada Mei 2026, tentera Amerika Syarikat, Filipina dan Australia berlatih menawan serta mempertahankan lapangan terbang itu, manakala pelancar roket M142 HIMARS dipindahkan ke pantai Balabac sebelum menyerang sasaran maritim simulasi.
Demonstrasi itu mengubah Balabac daripada lokasi terpencil kepada pintu masuk operasi yang berupaya menyokong penyusupan pantas dan tembakan jarak jauh, sekali gus membolehkan pasukan ekspedisi membentuk liputan antikapal sementara di sekitar laluan maritim strategik.
Susulan perkembangan itu, Aliakbar berkata, PN Sabah mengambil serius perkembangan geopolitik di rantau Asia Tenggara, khususnya peningkatan kerjasama dan keupayaan ketenteraan Amerika Syarikat – Filipina di kawasan selatan Filipina yang berhampiran dengan Sabah, termasuk perkembangan di Pulau Balabac.
“Walaupun Malaysia tidak pernah mengiktiraf sebarang tuntutan Filipina terhadap Sabah dan kedudukan Sabah dalam Malaysia adalah muktamad, usaha pihak tertentu di Filipina membangkitkan semula tuntutan tersebut pada tahun 2026 wajar dipandang serius, bahkan perkembangan tuntutan maritim Filipina pada tahun 2026 telah mendorong Malaysia mengemukakan bantahan rasmi.
“Dalam keadaan ini, PN Sabah berpandangan bahawa kepentingan Malaysia khususnya keselamatan, kedaulatan serta kesejahteraan rakyat Sabah mesti terus menjadi keutamaan. Sehubungan itu, PN Sabah mencadangkan empat pendekatan utama iaitu memperkukuh pertahanan dan keselamatan Sabah.
“Kerajaan Persekutuan perlu mempercepatkan usaha memperkukuh keupayaan pertahanan dan keselamatan Sabah, khususnya di kawasan pantai timur dan utara Sabah yang berhadapan dengan laluan strategik ke selatan Filipina. Keutamaan hendaklah diberikan kepada perkara-perkara berikut iaitu peningkatan keselamatan maritim serta kesiapsiagaan agensi keselamatan yang dikoordinasi oleh Majlis Keselamatan Negara yang turut melibatkan agensi-agensi keselamatan seperti ESSCOM, ATM, PDRM, APMM dan lain-lain.
“Pembangunan infrastruktur keselamatan di kawasan strategik Sabah dan memastikan keselamatan penduduk di kawasan sempadan sentiasa terjamin.
“PN Sabah berpandangan bahawa pengukuhan pertahanan bukan bertujuan mencetuskan perlumbaan senjata, tetapi sebagai langkah pencegahan dan memastikan Malaysia mempunyai keupayaan yang mencukupi untuk mempertahankan wilayahnya,” katanya lagi.
Selain itu ujarnya, PN Sabah menyeru Kerajaan Persekutuan supaya meneruskan pendekatan diplomasi yang tegas, matang dan berhemah dengan Filipina.
“Hal ini termasuklah menegaskan pendirian bahawa Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia disamping menyelesaikan sebarang pertikaian melalui saluran diplomatik dan undang-undang antarabangsa.
“Dialog keselamatan dengan Filipina dan memperkukuh kerjasama ASEAN juga perlu dilaksanakan. Begitu juga dengan pendirian Kerajaan Persekutuan sewajarnya mengekalkan hubungan baik dengan Amerika Syarikat, China, Filipina serta negara-negara ASEAN tanpa mengorbankan kepentingan nasional.
“PN Sabah menegaskan bahawa ketegasan mempertahankan kedaulatan tidak bermaksud Malaysia perlu mencari permusuhan dengan mana-mana negara. Sebaliknya, diplomasi yang kuat perlu disokong oleh pertahanan yang kukuh dan pendirian negara yang jelas,” kata Aliakbar.
Sementara itu, ujar beliau PN Sabah menyeru kerajaan supaya mempercepatkan pembangunan ekonomi di kawasan strategik Sabah, khususnya timur Sabah dan kawasan utara seperti Kudat dan Pulau Banggi.
“Pembangunan infrastruktur, pelabuhan, jaringan komunikasi, ekonomi maritim, perikanan, pelancongan dan industri tempatan perlu diperkasakan supaya kawasan sempadan bukan sahaja selamat, tetapi juga mempunyai ekonomi yang kukuh dan rakyat yang sejahtera.
“PN Sabah berpandangan bahawa penduduk yang sejahtera dan ekonomi yang kukuh merupakan sebahagian daripada benteng keselamatan negara.
“PN Sabah menegaskan pendirian bahawa Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia dan kedaulatan negara mesti dipertahankan. Sebarang tuntutan terhadap Sabah hendaklah ditangani melalui saluran diplomatik dan undang-undang yang sah serta berdasarkan kepentingan dan kedaulatan Malaysia.
“PN Sabah juga menyeru semua pihak supaya tidak menjadikan isu Sabah sebagai bahan politik sempit yang boleh menimbulkan ketegangan antara rakyat Malaysia dengan rakyat Filipina.
“Pada masa yang sama, rakyat Sabah perlu diberikan penerangan yang tepat mengenai perkembangan geopolitik dan isu tuntutan Sabah supaya tidak mudah dipengaruhi oleh propaganda, maklumat palsu atau sentimen yang boleh menggugat keharmonian masyarakat,” katanya.



