17 Adun PH diminta pulangkan peruntukan yang diterima sehari sebelum pembubaran DUN Negeri Sembilan

KUALA LUMPUR – Seramai 17 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) dan dua penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada kerajaan Negeri Sembilan terdahulu dikehendaki memulangkan semula peruntukan yang diterima bagi tempoh Julai hingga September susulan pembubaran DUN pada 5 Jun lalu.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) pada Rabu selepas isu peruntukan berkenaan dibangkitkan dalam sidang khas DUN sebelum ini.

“Beberapa ADUN telah menyentuh soal kelulusan peruntukan sebanyak RM180,000 kepada Adun-Adun PH sebelum pembubaran DUN, yang mana kelulusan tersebut dibuat dalam MMK bertarikh 3 Jun.

“Maka pada 4 Jun, iaitu sehari sebelum pembubaran DUN, sejumlah peruntukan telah pun disalurkan ke dalam akaun Adun-Adun ini, yang melibatkan 17 ADUN dan dua penyelaras DUN, iaitu Labu dan Paroi,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco lapor Sinar Harian di Seremban pada Rabu.

Menurutnya, daripada 17 Adun terbabit, tujuh bertaraf Exco, manakala 10 lagi ialah ADUN biasa.

Justeru, katanya, setiap Exco dikehendaki memulangkan peruntukan berjumlah RM150,000 bagi tempoh Ogos hingga September, Adun biasa sebanyak RM174,000 bagi tempoh Julai hingga September, manakala penyelaras DUN pula RM150,000 bagi tempoh Julai hingga September.

“Ini persoalan yang ditimbulkan dalam Dewan baru-baru ini berkenaan peruntukan pada Julai hingga September, sedangkan pada 5 Jun DUN telah dibubarkan.

“Tetapi bagi Ahli Exco dan Menteri Besar, mereka masih menjawat jawatan itu sehingga 31 Julai dan layak menggunakan peruntukan bagi bulan Julai, manakala yang lain-lain itu tidak lagi mempunyai kelayakan kerana DUN telah dibubarkan,” katanya menurut akhbar itu lagi.

Tambahnya, Pejabat Menteri Besar akan menghantar surat bagi menuntut pemulangan peruntukan berkenaan dalam masa terdekat dan tempoh 30 hari diberikan dari tarikh surat untuk memulangkan semula wang berkenaan.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, tular surat sumbangan kewangan untuk kesejahteraan rakyat yang diberikan kepada Adun PH berjumlah RM180,000 untuk bulan Julai hingga September yang bertarikh 4 Jun.

Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah bersetuju melantik Ketua MIC Bahagian Rembau, Datuk VS Mogan, sebagai Pegawai Hal Ehwal Masyarakat India bertaraf Exco yang akan memulakan tugas pada 1 September ini.

Berkenaan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang, beliau berkata perkara itu masih belum diputuskan lagi.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat