KUALA LUMPUR – Selepas menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), prosiding pendakwaan terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan diteruskan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis.
Peguam, Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili pemimpin Umno berusia 66 tahun itu mengesahkan anak guamnya kini berada dalam keadaan baik.
“Datuk Seri Ismail Sabri semakin sihat dan dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di IJN baru-baru ini.
“Insya-ALLAH, beliau dijangka hadir ke mahkamah sebelum jam 9 pagi esok,” katanya menurut Sinar Harian pada Rabu.
Berdasarkan semakan sistem mahkamah, pertuduhan terhadap Ahli Parlimen Bera itu akan dibacakan di hadapan Hakim, Suzana Hussin mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dipercayai berkaitan pengisytiharan harta.
Sebelum ini, Ismail Sabri telah dipanggil beberapa kali bagi merakamkan percakapan berhubung pengisytiharan harta yang dibuatnya kepada SPRM.
Dalam siasatan berkenaan, SPRM turut merampas wang tunai berjumlah RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing selain menyita 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai RM7 juta.
Rampasan itu dilakukan ketika penggeledahan di kediaman dan pejabat yang dipercayai dijadikan ‘rumah selamat’, susulan siasatan terhadap empat pegawai kanan Ismail Sabri yang ditahan pada Februari 2025.
Pada 7 Ogos lalu, Ismail Sabri selamat menjalani prosedur pemasangan perentak jantung tanpa wayar bagi merawat masalah degupan jantung tidak normal di IJN.
Susulan rawatan berkenaan, prosiding pendakwaan yang sepatutnya berlangsung tiga minggu lalu ditangguhkan ke 27 Ogos.



