Oleh Zihan Zari
AYER KEROH – Penampilan diri yang kemas dan profesional bukan sekadar soal gaya tetapi merupakan cerminan disiplin dan integriti penjawat awam.
Inilah yang diketengahkan dalam Program Keterampilan Diri dan Etika Profesional anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Seksyen Pembangunan Kompetensi dan Latihan, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) di Bayou Lagoon Park Resort, dekat sini baru-baru ini.
Program selama tiga hari ini telah menghimpunkan penyertaan penjawat awam KPT termasuk warga Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) yang terdiri daripada pensyarah, pegawai kategori pengurusan dan profesional serta kakitangan sokongan selain wakil dari Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT).
Kehadiran peserta daripada pelbagai agensi memperlihatkan keterangkuman usaha KPT dalam membina budaya profesionalisme yang seragam dan berkualiti.
Penceramah jemputan, Ts. Sara Rosli membuka tirai pengisian dengan topik Pengenalan kepada Imej Profesional serta Kod Pakaian dalam Persekitaran Korporat.
Beliau menekankan bagaimana cara berpakaian yang tepat mampu meningkatkan kredibiliti seseorang khususnya dalam membawa imej kementerian di mata masyarakat.
Sesi program kemudian diteruskan bersama Fara Azeerin A. Karim yang menyentuh pelbagai aspek penting seperti Imej Profesional & Personaliti Gaya, Tatarias Lelaki & Wanita, Tips Penampilan, Etika Pemakaian ke Tempat Kerja serta Analisa Tona Warna.
Fara Azeerin berkata, dengan gaya penyampaian santai namun penuh informasi, beliau mengajak peserta untuk lebih berani menilai penampilan diri.
“Penampilan yang baik tidak semestinya mahal. Apa yang penting adalah kesesuaian gaya dengan personaliti, suasana kerja dan mesej yang ingin kita sampaikan.
“Apabila seseorang itu tampil yakin dengan imejnya, keyakinan itu akan terpancar dalam cara dia bekerja dan berinteraksi,”katanya.
Peserta turut berpeluang melakukan aktiviti praktikal bagi memahami cara memilih warna yang tepat, teknik tatarias yang sesuai serta etika asas berpakaian di tempat kerja.
Interaksi ini bukan sahaja menambah ilmu baharu, malah membuka ruang untuk peserta saling berkongsi pengalaman dan pandangan.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah AKEPT, Prof. Madya Dr. Norazharuddin Shah Abdullah berkata, program ini amat signifikan dalam membina keyakinan diri warga KPT.
“Program ini juga memberi panduan praktikal yang jelas untuk menampilkan diri dengan penuh keyakinan, selaras dengan aspirasi KPT melahirkan warga berwibawa.
“Sebagai penjawat awam, imej kita adalah imej jabatan, ia bukan sahaja tentang gaya tetapi tentang membina budaya kerja yang berintegriti dan berkualiti,”katanya.
Secara keseluruhan, program ini berjaya memberi impak positif kepada peserta yang menyifatkannya sebagai satu platform berguna untuk memperkukuh keterampilan diri.
Sekali gus mengingatkan bahawa imej profesional bukan hanya tuntutan luaran malah sebahagian daripada etika kerja dan budaya perkhidmatan awam.
Penganjuran program ini jelas membuktikan kesungguhan KPT dalam melaksanakan inisiatif pembangunan sumber manusia yang holistik, merangkumi kompetensi teknikal dan nilai keterampilan diri, selaras dengan aspirasi perkhidmatan awam yang berwibawa serta berdaya saing.-SUARA.TV



