Pelajar tingkatan 3 kritikal disyaki mangsa buli di asrama, KPM mula siasatan, pengurusan sekolah dipindah ke JPN – Fadhlina

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) menjalankan siasatan dalaman bagi meneliti semua aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, berkata pada masa sama Pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid serta semua warden sekolah yang seorang pelajarnya terbabit kemalangan, ditempatkan sementara di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor sehingga proses siasatan selesai.

“Saya mengambil perhatian kemalangan yang membabitkan seorang pelajar di sebuah sekolah di Selangor hari ini.

“Pelajar berkenaan sedang mendapat rawatan di hospital. Laporan kepada pihak polis telah dibuat supaya siasatan lanjut boleh dilaksanakan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan di Facebook, pada Selasa.

Fadhlina berkata, beliau akan memastikan siasatan dijalankan secara terperinci semua aspek berkaitan termasuk dakwaan buli dalam kejadian ini.

“Saya mendoakan supaya anakanda diberi kesembuhan segera dan keluarga diberikan kesabaran dalam menghadapi ujian ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazi Kahar, berkata pihaknya menerima laporan kejadian itu dan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001.

“Siasatan akan dijalankan dari pelbagai sudut termasuk aspek keselamatan pelajar, pengurusan asrama serta latar belakang sosial mangsa dan rakan rakan sekelilingnya,” katanya dalam kenyataan, pada Selasa.

Pelajar Tingkatan Tiga kritikal, keluarga khuatir jadi mangsa buli

Dalam pada itu, Sinar Harian melaporkan seorang pelajar Tingkatan Tiga kini berada dalam keadaan kritikal selepas disyaki menjadi mangsa buli di asrama.

Bapa saudara mangsa Muhammad Aidil Mansor, 34, berkata anak saudaranya, Ahmad Irfan Ahmad Hanafi dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam.

Menurutnya, keputusan imbasan CT scan mendapati anak saudaranya mengalami pendarahan pada bahagian kiri dan kanan otak, selain rahang patah serta kecederaan pada paru-paru.

“Kalau betul jatuh dari tingkat tiga, mestilah patah riuk. Tapi hasil imbasan hanya tunjuk rahang sahaja yang patah. Sebab itu kami syak ada unsur buli,” katanya kepada Sinar Harian.

Susulan itu, Muhammad Aidi berkata, keluarga sudah membuat laporan polis pada jam 5 pagi tadi di Balai Polis Sabak Bernam.

Pada masa sama, keluarga turut mempersoalkan tindakan pihak sekolah yang didakwa lewat memaklumkan kejadian kepada penjaga.

“Keluarga hanya dimaklumkan pada jam 4 pagi, sedangkan kejadian berlaku jam 2 pagi,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat