MARA-TNB Meterai MoU, Tingkat Kecekapan Penggunaan Tenaga Lestari

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam memastikan kecekapan penggunaan sumber tenaga lestari di samping mewujudkan peluang baharu untuk pertumbuhan hijau.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kerjasama itu antaranya melibatkan pemasangan panel sistem solar photovoltaik bagi penjanaan tenaga elektrik bersih di institusi pendidikan MARA (IPMa) dan pembangunan infrastruktur pengecasan Kenderaan Elektrik (EV) untuk pengendalian dan pengurusan bas MARA Liner.

“Projek pembangunan infrastruktur pengecasan EV bagi pengendalian dan pengurusan bas MARA Liner itu satu projek rintis akan dilaksanakan di Pulau Langkawi menggunakan empat bas elektrik bagi empat laluan perkhidmatan dianggarkan akan memanfaatkan lebih 68,000 penduduk,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU.

Beliau berkata kerjasama itu adalah selaras dengan Polisi Tenaga Boleh Baharu Kebangsaan 2025 di bawah Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia.

MOU tersebut turut meliputi penyediaan perkhidmatan telekomunikasi dan akses Internet di premis-premis institusi pendidikan MARA oleh anak syarikat TNB, Alloy Technology Sdn Bhd serta pembangunan modal insan dengan sasaran lebih 30,000 pelajar serta pelatih dalam bidang jurusan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang akan diperkasa di bawah ekosistem MARA dan TNB.

Selain itu, skop kerjasama itu juga membabitkan program keusahawanan dalam bidang teknologi, telekomunikasi dan EV sebagai satu daripada pencapaian utamanya.

“Saya berharap akan ada lebih ramai lagi pemain industri yang akan turut bekerjasama dengan agensi-agensi di bawah KPLB dalam usaha kami menyumbang kepada pertumbuhan industri dan ekonomi negara di samping memperkukuh kelestarian alam sekitar,” katanya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat