Selangor Catat Kes Kematian Harian Tertinggi Hari Ini – Dr Noor Hisham

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Selangor menjadi negeri tertinggi yang menyumbang sebahagian besar kes kematian Covid-19 dengan mencatatkan 125 kes daripada jumlah keseluruhan iaitu 393 kes, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah keseluruhan harian kes kematian turut disumbang Kuala Lumpur sebanyak 61 kes, 48 kes di Johor, 33 kes di Melaka, 31 kes di Pulau Pinang, 26 kes di Sabah, 20 kes di Negeri Sembilan, masing-masing 15 kes di Kedah dan Perak, sembilan kes di Kelantan, lapan kes di Pahang, serta dua kes di Terengganu.

“Kematian melibatkan lelaki mencatatkan jumlah terbanyak iaitu 236 orang dan 157 wanita dengan 99 warga asing yang menjadikan kes hari ini, turut tertinggi melibatkan kematian dalam kalangan warga asing.

“Seramai 100 orang meninggal dunia di rumah sebelum dibawa ke hospital (BID) termasuk 50 adalah warga asing manakala 328 daripada 393 orang mempunyai pelbagai latar belakang penyakit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Hisham berkata, Malaysia terus mencatatkan kes positif tertinggi sejak pandemik Covid-19 melanda negara ini iaitu 24,599 kes yang terus menunjukkan peningkatan berbanding semalam, 22,642 kes sekali gus mengatasi kes sembuh iaitu 22,657 kes dengan 990 kes di unit rawatan rapi (ICU) selain 487 kes memerlukan bantuan pernafasan dan 265,841 kes aktif.

Katanya, Selangor terus menjadi penyumbang terbesar apabila merekodkan sebanyak 6,936 kes diikuti Sabah (3,487), Johor (2,785), Sarawak (2,024), Pulau Pinang (2,078), Kedah (1,538), Kelantan (1,312) dan Perak (1,170).

“Lima negeri mencatatkan kes tiga angka iaitu Kuala Lumpur (881), Pahang (690), Terengganu (567), Negeri Sembilan (526) dan Melaka (515). Perlis pula mencatatkan 67 kes dan Putrajaya, 20 kes manakala Labuan hanya tiga kes,” katanya.

Mengulas mengenai 35 kluster baharu, beliau berkata, tempat kerja mencatatkan 20 kluster, sembilan kluster komuniti, empat kluster kumpulan berisiko tinggi manakala pusat tahanan dan pendidikan, masing-masing satu kluster.

Kluster tempat kerja katanya, lapan di Selangor, lima di Johor, dua di Perak manakala Negeri Sembilan, Melaka, Sabah, Pulau Pinang dan Sarawak, masing-masing satu kluster.

“Bagi kluster komuniti, empat di Kelantan, dua di Johor, dua di Sarawak dan satu di Selangor manakala kluster kumpulan berisiko tinggi, tiga di Johor dan satu di Kedah. Kluster pusat tahanan pula, satu di Perak dan kluster pendidikan lain, satu di Kedah,” katanya. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat