PM Anwar ucap terima kasih kepada petugas, ulangi Komitmen terhadap demokrasi dan dialog

KUALA LUMPUR, – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merakamkan penghargaan kepada semua petugas keselamatan, perubatan dan sukarelawan yang telah memastikan kelancaran dan ketenteraman awam sepanjang berlangsungnya Himpunan Turun Anwar di ibu negara.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di media sosialnya malam ini, Anwar menyifatkan pasukan polis, bomba, perubatan dan sukarelawan telah menunjukkan “ketangkasan, disiplin dan dedikasi yang tinggi” demi menjamin keselamatan dan kelancaran acara.

“Saya rakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua petugas… menjamin keselamatan dan ketenteraman awam serta memastikan kelancaran acara himpunan yang berlangsung hari ini,” tulis beliau.

Beliau turut mendoakan kesejahteraan para peserta, sama ada yang hadir untuk menyuarakan pandangan, menyatakan solidariti atau yang datang dari luar ibu kota, agar selamat dalam perjalanan pulang ke destinasi masing-masing.

Dalam nada yang mencerminkan keterbukaan demokrasi, Anwar menegaskan bahawa beliau kekal konsisten berpegang kepada prinsip kebebasan bersuara dan menyatakan kritikan, selagi ia dilakukan secara tertib dan aman.

“Kritikan dan perbedaan pandangan tidak seharusnya dilihat dari lensa permusuhan… ia harus terus bercambah dan subur mekar menjadi denyut nadi negara bangsa yang matang, progresif dan berdaulat,” ujar beliau.

Anwar turut menyentuh tentang amalan demokrasi di dalam Parlimen, khususnya melalui Sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT), di mana ahli-ahli Parlimen diberi ruang bertanya secara langsung dan mengangkat bangkangan terhadap beliau sebagai ketua kerajaan.

Beliau menyeru rakyat agar terus mendesak wakil rakyat masing-masing agar lebih aktif menyertai sesi-sesi Parlimen, terutamanya PMQT, sebagai medan rasmi untuk menyuarakan pandangan dan menuntut pertanggungjawaban.

Dalam penutup kenyataan, Perdana Menteri mengajak rakyat untuk bersama-sama melakar masa depan negara bukan hanya melalui demonstrasi jalanan, tetapi melalui penglibatan lebih meluas dalam pelbagai bidang yang mampu melonjakkan negara ke tahap lebih progresif.

“Saya undang semua untuk terus berdialog dan berwacana… tidak sekadar di jalanan, tetapi bangkit telaah, menggapai dan menguasai lapangan-lapangan baharu,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa kawasan bersejarah seperti Dataran Merdeka dan Bangunan Sultan Abdul Samad kini sedang dalam perancangan pemuliharaan besar-besaran menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, sebagai langkah meningkatkan pelancongan dan ekonomi ibu kota. -SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat