KUALA LUMPUR, – Laungan lantang “Turun! Turun! Turun Anwar!”* bergema seawal jam 10 pagi apabila ribuan rakyat mula membanjiri pusat bandar dalam Himpunan Turun Anwar, menandakan penolakan terbuka terhadap kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Perhimpunan anjuran Perikatan Nasional itu bermula dengan kehadiran peserta dari pelbagai negeri yang berkumpul di empat lokasi utama Masjid Negara, Masjid Jamek, Pasar Seni dan kompleks Sogo sebelum berarak secara aman ke Dataran Merdeka menjelang jam 2 petang.
Para peserta, kebanyakannya berpakaian hitam dan membawa sepanduk bertulis mesej seperti “Tolak Penipuan Madani”, “Reformati Bukan Reformasi”, dan “Selamatkan Malaysia”, hadir bagi menyuarakan kemarahan terhadap dasar-dasar kerajaan yang didakwa membebankan rakyat.
Antara pemimpin pembangkang yang hadir ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Tun Dr Mahathir Mohamad, yang tampil menyampaikan ucapan berapi-api kepada lautan peserta.
“Anwar berjanji bulan dan bintang, tapi rakyat terus dihimpit dengan kenaikan cukai, penghapusan subsidi, dan kegagalan dasar ekonomi. Rakyat perlu bangkit,” tegas Hamzah.
“Kita turun hari ini bukan untuk huru-harakan negara, tapi untuk pertahankan maruah rakyat. Jika kerajaan tidak mendengar suara kita, lebih ramai akan bangkit,” kata Tuan Ibrahim.
“Reformasi yang dijanjikan telah bertukar menjadi reformati. Ini bukan kerajaan rakyat, ini kerajaan elit yang melupakan janji,” ujar Takiyuddin Hassan dengan disambut sorakan peserta.
“Saya datang kerana cinta kepada negara ini. Jangan biarkan Malaysia hancur di tangan pemimpin yang hanya pandai berpidato tetapi gagal mengurus,” kata Mahathir dalam nada sinis.
Walaupun penganjur mendakwa jumlah kehadiran mencecah 300,000 orang, angka yang dibangkitkan beberapa pemimpin PAS melebihi setengah juta, pihak polis menganggarkan jumlah peserta yang hadir sekitar 15,000 hingga 20,000 orang tetap menjadikan perhimpunan ini antara yang terbesar selepas PRU ke-15.
Cuaca hujan renyai tidak menghalang kelangsungan acara yang berlangsung secara tertib, dengan kawalan keselamatan daripada pihak berkuasa dan petugas sukarelawan.
Penganalisis politik menyifatkan himpunan ini sebagai tanda amaran awal kepada kerajaan, terutama menjelang pilihan raya negeri yang semakin hampir. Sentimen akar umbi dilihat semakin terhakis terhadap pentadbiran MADANI, terutamanya dalam isu kos sara hidup, percukaian, dan kegagalan menunaikan janji reformasi.
Kerajaan sebelum ini mempertahankan langkah-langkah ekonomi yang diambil sebagai sebahagian daripada proses rasionalisasi subsidi dan pembaharuan fiskal, namun rakyat di bawah merasakan kesannya secara langsung dan segera.
Walaupun tiada kekecohan dilaporkan, mesej yang dibawa puluhan ribu peserta hari ini cukup jelas desakan agar Datuk Seri Anwar Ibrahim berundur daripada jawatan Perdana Menteri semakin nyaring dan tersusun.- SuaraTV



