Himpunan Turun Anwar berlangsung aman tanda kematangan politik era Madani – Adam Adli

PETALING JAYA – Pengarah Komunikasi KEADILAN, Adam Adli, menyifatkan kelancaran himpunan “Turun Anwar” yang berlangsung secara aman di ibu kota sebagai bukti nyata kematangan demokrasi dan keterbukaan politik yang sedang mekar dalam era pentadbiran Kerajaan Madani.

Menurut beliau, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak melihat perhimpunan aman sebagai ancaman, sebaliknya sebagai manifestasi kesihatan sistem demokrasi yang menghormati hak rakyat untuk bersuara dan menyatakan ketidaksetujuan.

“Malaysia pernah melalui zaman di mana suara dibungkam, perhimpunan dibedil, dan perbezaan pendapat dijenayahkan. Tetapi hari ini, pembangkang dan penyokong mereka dibenarkan berhimpun di tengah ibu kota tanpa gangguan, tanpa kekerasan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Adam menegaskan, situasi semasa bukanlah tanda kelemahan pentadbiran, tetapi kekuatan sebenar demokrasi apabila kerajaan mampu menunjukkan keyakinan terhadap rakyat dan institusinya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan keselamatan yang bertugas memastikan kelancaran dan keselamatan perhimpunan. Katanya, kehadiran anggota keselamatan tanpa kelengkapan rusuhan seperti pemedih mata dan belantan mencerminkan perubahan besar dalam pendekatan negara terhadap hak berhimpun.

“Ini adalah cerminan kematangan institusi kita polis bukan lagi digunakan untuk menakut-nakutkan rakyat, tetapi menjadi pengawal sistem demokrasi yang bertamadun,” ujar Adam.

Beliau menyifatkan pendekatan ini sebagai selari dengan semangat Madani – sebuah kerangka pentadbiran yang tidak hanya melaungkan demokrasi tetapi juga melaksanakannya secara tulen.

Adam turut menjelaskan bahawa perjuangan Madani tidak terhenti pada hak bersuara semata-mata, sebaliknya merangkumi usaha holistik untuk menjamin kesejahteraan hidup rakyat termasuk membanteras kemiskinan, menurunkan kos sara hidup, serta menstruktur semula ekonomi dan pendidikan.

“Hak untuk hidup bermaruah tidak kurang penting daripada hak bersuara. Kedua-duanya sedang diusahakan oleh kerajaan,” tambahnya.

Dalam kenyataannya, Adam tidak ketinggalan menyindir pembangkang yang didakwanya semakin ketandusan hala tuju, malah memilih jalan retorik dan serangan peribadi berbanding menawarkan dasar alternatif yang meyakinkan.

“Ketika kerajaan sibuk memulihkan negara, pembangkang terperangkap dalam strategi mencipta ketidaktentuan dan permainan persepsi bukan dengan hujah, tetapi dengan polemik dan tuduhan.”

Beliau mencabar pembangkang agar menyemai budaya politik yang matang dengan mendidik penyokong agar menghormati institusi dan mengemukakan hujah yang berasaskan fakta, bukannya kebencian.

Adam menyifatkan himpunan yang berlangsung semalam sebagai petanda bahawa Malaysia sedang memasuki fasa baharu politik di mana perbezaan pendapat diraikan, bukan ditindas.

“Kita sedang membina sebuah negara yang lebih terbuka, matang dan adil. Dalam demokrasi, suara yang menyokong mahupun yang menentang kedua-duanya penting dan wajar dilindungi.”

Mengakhiri kenyataannya, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus mempertahankan ruang demokrasi ini, dengan semangat berhemah dan beradab, demi masa depan negara yang lebih inklusif.

“Inilah semangat Madani ruang untuk rakyat bersuara tanpa takut, dan kerajaan yang bersedia mendengar tanpa angkuh,” tegas beliau.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat