KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen menangguhkan pengeluaran Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) baharu yang sepatutnya bermula 1 Jun ini ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata, langkah itu diambil bagi memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan serta pengalaman urusan rakyat terus berada pada tahap terbaik.
“Orang ramai masih boleh memperbaharui PMA sedia ada seperti biasa dan pasport yang masih berkuat kuasa kekal sah digunakan sehingga tamat tempoh.
“Sebarang perkembangan lanjut berkaitan pelaksanaan PMA versi baharu akan dimaklumkan menerusi saluran rasmi imigresen dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Imigresen sebelum ini memaklumkan PMA versi baharu dijadual dikeluarkan 1 Jun ini.
PMA versi baharu itu dilengkapi 94 ciri keselamatan bagi memastikan dokumen terbabit kekal selamat dan sukar dipalsukan.
Ciri keselamatan baharu itu antaranya akan dilengkapi elemen visual tersembunyi, hologram dan cetakan sinaran ultraungu (UV).
Selain itu, benang digunakan untuk menjahit buku pasport terbabit turut memiliki ciri keselamatan khas.


