KUALA LUMPUR – Datuk Seri Rafizi Ramli akui sangat tersentuh apabila beberapa ahli muda parti menitiskan air mata semasa beliau meninggalkan dewan Kongres Nasional PKR, sambil merayu agar beliau tidak meninggalkan PKR walaupun dilayan sedemikian rupa.
Menteri Ekonomi itu menegaskan tidak berniat untuk berputus asa dan lari dari cita-cita idealisme selama ini, iaitu Malaysia berhak mendapat sesuatu yang lebih baik.
“Terima kasih atas ratusan mesej sokongan yang saya terima. Terima kasih juga kepada mereka yang mendoakan saya dan bersolat hajat.
“Saya sangat tersentuh apabila beberapa ahli muda parti menitiskan air mata semasa saya meninggalkan dewan, sambil merayu agar saya tidak meninggalkan PKR walaupun dilayan sedemikian rupa.
“Saya tidak berniat untuk berputus asa dan lari dari cita-cita idealisme kita selama ini, iaitu Malaysia berhak mendapat sesuatu yang lebih baik cita-cita itulah yang telah menjerumuskan saya ke dalam aktivisme dan politik dahulu,” katanya.
Kekal optimis Ahli Parlimen Pandan itu malah menegaskan, setiap satu masalah ada pelbagai penyelesaiannya.
Begitu juga katanya, setiap satu rintangan ada banyak jalan pintasnya.
“Dengan lebih banyak masa yang ada, Insya-Allah saya akan dapat meluangkan lebih banyak masa bersama rakyat biasa selepas ini.
“Dalam masa terdekat, sekurang-kurangnya saya akan cuba membalas seberapa banyak mesej sokongan yang saya terima.
“Kepada mereka yang kecewa, kita mesti redha dengan ketetapan dan hikmah di sebaliknya. Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita.
“Sekali lagi, terima kasih yang tidak terhingga dari lubuk hati saya,” luah Rafizi.