Penyokong Rafizi tak akan keluar parti, perlu masa bertenang sebelum bangkit berjuang semula – Aminuddin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR Datuk Seri Aminuddin Harun percaya penyokong Datuk Seri Rafizi Ramli tidak akan keluar parti susulan kekalahan Menteri Ekonomi itu pada pemilihan jawatan timbalan presiden, Jumaat lalu.

Sebaliknya, Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, mereka hanya memerlukan sedikit masa untuk bertenang sebelum bangkit semula bersama parti meneruskan perjuangan.

Beliau yang mengakui dirinya sebahagian daripada ‘orang kuat Rafizi’, juga percaya kekecewaan mereka tidak akan berpanjangan sehingga menjejaskan kestabilan parti dan yakin situasi dalam PKR akan kembali pulih.

“Mereka tidak akan keluar parti, tetapi melihat strategi yang boleh dimainkan di peringkat ranting dan cabang sebagai langkah ke hadapan.

“Saya sebahagian daripada ‘orang kuat’ Datuk Seri Rafizi dan saya yakin mereka akan mengambil masa sedikit untuk tenang dan memberikan sokongan semula kepada Keadilan,” katanya.

Aminuddin menjelaskan demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Takraw Piala Menteri Besar Negeri Sembilan 2025, lapor BH di Negeri Sembilan.

Rafizi tewas pemilihan PKR peringkat Pusat bagi jawatan nombor dua parti kepada Nurul Izzah Anwar. Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu memperoleh 9,803 undi, manakala Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan meraih 3,866 undi.

Aminuddin yang berjaya mempertahankan jawatan Naib Presiden PKR daripada 12 calon bertanding, berkata beliau tidak menyangka mampu mempertahankan jawatan disandangnya.

Dalam pada itu, katanya, PKR tidak akan mengambil mudah pelbagai pandangan daripada pemimpin dan ahli akar umbi parti seperti disuarakan sepanjang tempoh kempen dan semasa pemilihan parti.

Menurutnya, kepemimpinan parti perlu merangka strategi dan berusaha mengatasi pelbagai perkara yang dibangkit atau diperbincangkan termasuk di media sosial.

“Walaupun pemilihan parti sudah berakhir, melihat di pelbagai media sosial, pelbagai perkara masih diperdebatkan. Saya lihat pimpinan PKR perlu rangka strategi dan memberi penerangan yang baik. Kita tidak boleh ambil mudah komen daripada rakyat.

“Kita perlu perbaiki apa jua pandangan dan bekerja lebih kuat daripada apa yang ada sekarang dalam menuju pilihan raya,” katanya.

Mengulas mengenai kemenangan mempertahankan jawatan disandangnya, Aminuddin berkata beliau tidak menyangka akan memenangi jawatan berkenaan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat