Teknologi AI cabaran evolusi dunia kewartawanan – Premier Sarawak

- Advertisement -

KUCHING: Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, berkata, dunia evolusi kewartawanan berhadapan dengan cabaran kerana ia menguji integriti laporan yang dilaporkan dengan adanya teknologi AI.

Menurutnya, AI boleh mewujudkan sesuatu yang tiada, sekali gus sukar untuk menilai sama ada laporan dibuat menggunakan teknologi AI itu benar atau sebaliknya.

“Kepesatan teknologi dengan penggunaan AI ini satu evolusi hebat dalam bidang kewartawanan apabila ia dimanfaatkan oleh mereka yang pakar dengan penggunaannya.

“Dengan AI, orang yang sudah meninggal dunia pun boleh ‘dihidupkan semula’, menyebabkan kita tidak tahu dengan jelas sama ada apa yang dipaparkan itu asli atau tidak,” katanya ketika merasmikan Persidangan Media Sarawak (SMeC) 2024 sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) di sini, pad Sabtu.

Kata Abang Johari lagi, wartawan perlu mempunyai rasa tanggungjawab kepada keamanan negara dan seluruh pihak yang berkepentingan dengan menggunakan kod etika yang sesuai ketika menggunakan teknologi AI.

“Wartawan yang bertanggungjawab harus mencari kaedah untuk mengelak penyebaran berita palsu susulan ledakan teknologi AI.

“Dengan AI, percakapan saya boleh diterjemah ke bahasa Mandarin atau Inggeris dengan gerakan bibir saya akan menepati dengan apa yang disebut dan inilah cabaran kita dalam media masa kini,” katanya.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Mohd Asfia Awang Nasar, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil;  Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi serta Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol.

Dalam pada itu, sempenan HAWANA 2024 yang berlangsung di Sarawak, beliau mengucapkan kasih kepada Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Komunikasi yang julung kali membawa sambutan HAWANA ke luar Semenanjung dan memilih Sarawak sebagai tuan rumah.

Program ini menurutnya dapat mengumpul para pengamal media pelbagai agensi dan organisasi dan sekaligus dapat merencana hala tuju industri media kerana tranformasi yang begitu laju ketika ini sehingga membawa cabaran dalam industri media.

Terdahulu dalam ucapannya, Abang Johari berkata industri media global mesti mempunyai kod etika terkawal yang boleh diterima oleh semua pengguna.

“Anda boleh mempunyai kebebasan bersuara tetapi ada juga persoalan sama ada anda boleh mendemokrasikan isu kebebasan bersuara.

“Tetapi bagi saya, tidak ada kebebasan mutlak. Mesti ada kod etika tertentu.

“Sama seperti ketika memerintah negara, ia berdasarkan perlembagaan anda. Saya percaya perkara yang sama juga terpakai kepada industri media global,” katanya.

Beliau juga berkata Sarawak perlu mengikuti perkembangan semasa dalam industri media.

Beliau menegaskan bahawa industri media sedang menghadapi cabaran yang membentuk semula landskapnya dengan ketersediaan berita di hujung jari hari ini.

“Berita kini boleh diakses dengan serta-merta kepada kami pada setiap saat termasuk berita tentang apa yang berlaku di seluruh dunia.

“Sama ada anda suka atau tidak, anda perlu mendengar dan menyatakan apa kandungan berita itu. Malah ada sesetengah orang yang mungkin terpengaruh dengan berita tertentu yang tidak tepat.

“Dalam erti kata lain, era digital telah benar-benar mengubah keseluruhan landskap industri media, dan ini menjadi satu cabaran,” katanya.

Beliau berkata kerajaan Sarawak menyokong semua input industri media.

“Ini adalah supaya kami mempunyai maklumat dan input yang boleh dipercayai semasa kami bergerak ke hadapan selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 kami.

“Objektif kerajaan Sarawak di bawah dasar ini juga termasuk industri media kerana komunikasi adalah penting,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat