Menteri Luar Jepun, Malaysia Sepakat Bekerjasama Bangunkan Lagi Dasar Pandang Ke Timur

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan rakan sejawatannya dari Jepun Yoshimasa Hayashi sepakat untuk bekerjasama membangunkan lagi Dasar Pandang Ke Timur, dengan mengambil kira tuntutan zaman dan dasar keutamaan Malaysia, termasuk bidang ekonomi digital.

Perkara itu dibincangkan semasa pertemuan Saifuddin dan Hayashi di Tokyo pada Rabu, sempena lawatan kerja rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Jepun, memetik kenyataan Kedutaan Jepun di Kuala Lumpur pada Khamis.

“Menteri Hayashi menyatakan bahawa Dasar Pandang Ke Timur adalah tunjang pembangunan Malaysia dan melambangkan kejujuran hubungan ​​antara kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan itu Hayashi turut meminta kerjasama Malaysia berhubung pembukaan awal kampus cawangan Universiti Tsukuba dan Saifuddin menyatakan hasratnya untuk bekerjasama dalam perkara ini.

Kedua-dua menteri turut mengesahkan kepentingan kerjasama dua hala, seperti latihan negara ketiga mengenai keselamatan maritim, serta memperluas kerjasama keselamatan.

Tahun 2022 menandakan ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Jepun dan ulang tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur.

Selain itu, Hayashi turut menyatakan hasratnya untuk mempertingkatkan kerjasama dalam bidang ASEAN Outlook mengenai Indo-Pasifik (AOIP) serta di Laut Sulu-Celebes ke arah mencapai Indo-Pasifik Bebas dan Terbuka (FOIP).

Berhubung situasi di Ukraine, Hayashi berkata Rusia terhadap Ukraine ia cabaran besar terhadap kedaulatan undang-undang dan pelanggaran kedaulatan serta integriti wilayah yang tidak boleh dibiarkan.

“Kedua-dua menteri turut mengesahkan bahawa perubahan status quo sepihak secara kekerasan tidak boleh diterima di mana-mana rantau, dan bersetuju bahawa kedua-dua negara akan berkoordinasi untuk menangani kesan ke atas ekonomi dunia, di samping mengutuk pencerobohan itu,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Hayashi turut menyuarkan tentangan kerasnya terhadap percubaan sepihak untuk mengubah status quo secara kekerasan di Laut China Timur dan Selatan serta tekanan ekonomi.

“Selain itu, kedua-dua menteri sepakat untuk bekerjasama mengekalkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran maritim,” menurut kenyataan itu.

Saifuddin dan Hayashi juga akan meneruskan kerjasama berhubung aktiviti nuklear dan peluru berpandu Korea Utara.

Kedua-dua pihak turut bersetuju untuk berkoordinasi dalam isu berkaitan cabaran serantau dan global, seperti situasi di Myanmar, Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik bagi Kemakmuran (IPEF) dan pembaharuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu termasuk pembaharuan Majlis Keselamatan. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
230,282FollowersFollow
27,495FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat