KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi senada dengan Datuk Seri Nazri Aziz yang mahukan Datuk Seri Anwar kekal memerintah Kerajaan Madani selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) nanti.
Menurut Zahid, kedudukan Anwar sebagai Perdana Menteri untuk penggal kedua dilihat berada dalam keadaan ‘selamat’ apabila Umno berpandangan Ahli Parlimen Tambun itu perlu kekal menerajui negara selepas PRU ke-16 nanti.
Zahid yang juga Presiden Umno berkata kenyataan dibuat bekas Duta Malaysia ke AS, Nazri Aziz, pada Ahad lalu berkaitan perkara itu adalah selaras dengan harapan semua pihak dalam kerajaan.
“Itu adalah harapan beliau (Nazri) dan kita dalam Kerajaa Madani,” katanya ringkas ketika diminta mengulas kenyataan Nazri.
Zahid berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Kompleks Ternakan Ayam Pedaging Felcra di Tanjung Seratus, dekat Rompin, Pahang pada Khamis, lapor Malaysiakini.
Terdahulu, Nazri yang juga bekas Ahli Parlimen Padang Rengas selama enam penggal memberitahu, fokus utama kerajaan ketika ini sepatutnya ialah memberi sokongan kepada Anwar dan memastikan dia kekal sebagai perdana menteri untuk penggal akan datang.
Nazri yang juga bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata sokongan terhadap Anwar dibuat kerana dia bimbang apabila tiada calon lain yang berpotensi memegang jawatan perdana menteri termasuk daripada Umno.