KUALA LUMPUR – Jentera kerajaan mestilah meningkatkan kecekapan dan prinsip kerja berintegriti supaya pembangunan ekonomi dapat dicapai dengan jayanya.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah bahawa baginda tidak suka dengan sistem yang banyak “red tape”.
“Oleh itu, kecekapan proses kerja dan tadbir urus mestilah sentiasa dinilai dan ditingkatkan.
“Saya sangat berharap semua agensi penguatkuasaan dapat menjalankan siasatan dengan lebih cekap dan cepat supaya sesuatu kes itu dapat diselesaikan dengan segera,” tegas baginda.
Dalam titah baginda ketika Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-15 pada Isnin, Sultan Ibrahim turut menzahirkan penghargaan di atas taat setia yang telah dicurahkan kepadanya dan negara tercinta oleh semua anggota Perkhidmatan Awam, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta seluruh agensi Kerajaan yang telah berkhidmat dengan penuh dedikasi tanpa mengenal penat dan lelah.