KUALA LUMPUR -Exco Sumber Manusia dan Pembasmi Kemiskinan Selangor Papparaidu Veraman merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa Hal Ehwal Selain Islam (LIMAS) ingin mengingatkan orang awam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta mana-mana pihak agar tidak menggunakan istilah seperti “kuil haram”, “tokong haram” atau apa-apa label seumpamanya apabila merujuk kepada tempat ibadat mana-mana agama di negeri berkenaan.
Menurut Adun Banting itu,tempat ibadat bukan sekadar struktur fizikal, tetapi merupakan institusi yang mempunyai nilai keagamaan, sejarah serta makna yang amat mendalam kepada penganutnya.
“Penggunaan istilah yang berunsur menghukum, merendahkan atau melabel secara negatif adalah tidak wajar, tidak menghormati sensitiviti agama, serta boleh mencetuskan salah faham dan ketegangan dalam kalangan masyarakat majmuk.
“Dalam sebuah negeri seperti Selangor yang dihuni rakyat berbilang kaum dan agama, keharmonian sosial adalah asas kestabilan dan kemajuan.
“Kenyataan atau label yang tidak bertanggungjawab, khususnya di media sosial, berpotensi mengeruhkan keadaan, membentuk persepsi salah, serta menjejaskan hubungan antara komuniti yang telah lama hidup dalam suasana aman dan saling menghormati,” tegas beliau.
Papparaidu memberitahu, sebarang isu berkaitan status, kedudukan atau urusan pentadbiran tempat ibadat adalah di bawah bidang kuasa kerajaan serta pihak berkuasa yang berkaitan, termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pejabat Daerah dan agensi teknikal.
“Setiap perkara diteliti berdasarkan peruntukan undang-undang, dasar semasa serta pertimbangan sosial setempat. Campur tangan pihak ketiga melalui spekulasi, tekanan terbuka atau pelabelan yang mengelirukan bukan sahaja tidak membantu, malah boleh menyukarkan proses penyelesaian yang sedang diusahakan secara teratur.
“Perlu difahami bahawa kebanyakan kes melibatkan tempat ibadat mempunyai latar sejarah yang panjang dan kompleks, melibatkan pelbagai faktor termasuk pembangunan setempat, pertumbuhan komuniti serta isu pentadbiran tanah yang memerlukan penelitian menyeluruh.
“Oleh itu, pendekatan yang diambil mestilah berasaskan dialog, keadilan, toleransi dan penyelesaian secara harmoni, bukannya sentimen atau emosi,” katanya.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri Selangor menyeru semua pihak supaya memberi kepercayaan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengurus dan menyelesaikan perkara ini secara berhemah, profesional dan berpandukan undang-undang.
“Pada masa yang sama, orang awam dinasihatkan agar lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan, komen atau perkongsian di media sosial supaya tidak mencetuskan ketidaktenteraman awam atau menyentuh sensitiviti agama mana-mana pihak.
“Kerajaan Negeri Selangor kekal komited untuk memastikan keharmonian antara kaum dan agama terus terpelihara.
“Komitmen ini selaras dengan prinsip Rukun Negara, khususnya “Kepercayaan kepada Tuhan”, yang menjadi asas kepada pembinaan masyarakat yang saling menghormati pegangan agama masing-masing.
“Prinsip ini menuntut kita untuk memelihara adab, toleransi dan rasa hormat dalam setiap tindakan serta pertuturan, demi kesejahteraan bersama.
Marilah kita bersama-sama memelihara perpaduan, menolak bahasa yang memecah-belahkan, serta mengutamakan semangat saling menghormati dalam membina Selangor yang aman, stabil dan inklusif untuk semua,” seru beliau.



