Prinsip functus officio, pakar undang-undang mana dirujuk, Tun Faisal tanya Takiyuddin

KUALA LUMPUR, – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mempersoalkan pakar undang-undang yang dirujuk Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataannya berhubung prinsip functus officio terhadap peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Tun Faisal berkata, dakwaan bahawa peletakan jawatan itu sudah berkuat kuasa dari sudut undang-undang tidak selari dengan peruntukan jelas dalam Perlembagaan PN yang menetapkan bahawa perletakan jawatan Pengerusi hanya sah selepas diluluskan Majlis Tertinggi.

“Perlembagaan Perikatan Nasional, Perkara 8.3(i)(b), memperuntukkan bahawa perletakan jawatan Pengerusi hanya berkuat kuasa selepas mendapat kelulusan Majlis Tertinggi, yang seterusnya akan memilih Pengerusi baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu merupakan respons terhadap Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang dipetik media sebagai berkata bahawa dari sudut undang-undang, pengerusi yang meletakkan jawatan boleh dianggap functus officio, iaitu telah selesai menjalankan fungsi jawatannya, walaupun masih perlu dibawa ke Majlis Tertinggi PN untuk diluluskan.

Tun Faisal menolak tafsiran tersebut dan menegaskan bahawa pengumuman atau niat untuk meletakkan jawatan semata-mata tidak mencukupi untuk menamatkan mandat jawatan berkenaan.

“Selagi kelulusan Majlis Tertinggi belum diberikan, perletakan jawatan itu belum berkuat kuasa secara sah, dan jawatan Pengerusi PN belum dikosongkan. Dalam keadaan ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih mempunyai mandat dan kuasa sebagai Pengerusi PN menurut perlembagaan pertubuhan,” katanya.

Beliau menjelaskan prinsip functus officio hanya terpakai apabila kuasa atau mandat seseorang telah tamat secara muktamad, namun dalam kes ini mandat Pengerusi belum tamat kerana syarat perlembagaan belum dipenuhi.

“Prinsip functus officio tidak boleh terpakai pada peringkat ini,” katanya.

Tun Faisal turut membangkitkan persoalan yang dilihat menyindir hujah pihak yang mendakwa mendapat penerangan pakar perundangan.

“Soalan: Pakar undang-undang mana yang dirujuk?” katanya.

Isu status jawatan Pengerusi PN menjadi perhatian selepas Muhyiddin menyatakan hasrat untuk berundur, namun sehingga kini Majlis Tertinggi PN belum meluluskan sebarang keputusan rasmi berhubung peletakan jawatan tersebut.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat