Bekas CFO 1MDB Yakin Jho Low Merupakan Wakil Sah Najib

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Azmi Tahir hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau bukan berjumpa dengan Low Taek Jho atau Jho Low di tepi jalan dan percaya ahli perniagaan itu adalah wakil Datuk Seri Najib Tun Razak dalam 1MDB.

Azmi, 49, berkata ini kerana Jho Low telah diperkenal kepada beliau oleh bekas Setiausaha Sulit Najib iaitu Allahyarham Datuk Azlin Alias. Azlin meninggal dunia dalam insiden helikopter terhempas pada 4 April 2015.

Beliau berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam Datuk Hariharan Tara Singh pada perbicaraan bekas Perdana Menteri itu dalam kes membabitkan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Hariharan: Sebagai CFO ketika itu, adakah anda tidak terfikir bahawa adalah tidak wajar bagi anda menerima arahan daripada Jho Low yang bukan merupakan sebahagian daripada syarikat (1MDB)?

Azmi: Tidak. Semua orang percaya beliau adalah wakil sah yang mewakili Datuk Seri Najib. Saya bukan berjumpa dengan beliau di tepi jalan, beliau telah diperkenal kepada saya oleh Allahyarham Azlin.

Saksi pendakwaan ke-12 itu juga berkata mesyuarat pada 15 Dis 2013 dengan KPMG Malaysia di kediaman Najib diadakan susulan ketidakpuasan hati KPMG terhadap penjelasan dan dokumen tidak lengkap yang diberikan berhubung pelaburan besar syarikat itu sebanyak US$2.3 bilion dalam dana tidak diketahui iaitu Bridge Global SPC, yang dibuat menerusi Brazen Sky Ltd, sebuah syarikat tujuan khas 1MDB.

Azmi, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Mohd Hazem Abdul Rahman serta bekas Pengerusi 1MDB Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin turut hadir bersama dengan Jho Low dan Najib.

Hariharan menyoal Azmi mengapa beliau tidak mengesahkan kesemua pemindahan ini ketika bertemu Najib pada mesyuarat itu dan saksi tersebut berkata berdasarkan pengalaman lalu, beliau sepatutnya berbuat demikian namun berasakan ia bukan masa yang sesuai untuk membangkitkan perkara itu.

Kepada soalan lain, saksi itu bersetuju dengan cadangan bahawa Jho Low telah mendapat manfaat daripada pergerakan dana daripada 1MDB kepada syarikatnya iaitu Good Star Ltd.

Azmi bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa beliau adalah sebahagian daripada rancangan Jho Low untuk menyeleweng dana 1MDB dan berkata beliau telah melaksanakan arahan ahli perniagaan dalam buruan itu tanpa menyoalnya.

Ahli Parlimen Pekan itu berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah sebanyak RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat