Tiada Kenaikan Harga Sayur Hingga 200 Peratus – Rosol Wahid

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memaklumkan tiada kenaikan harga sayur hingga 200 peratus sebagaimana dakwaan yang tular baru-baru ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid, berkata pemantauan dilakukan anggota penguat kuasa KPDNHEP di lapangan tidak mengesan kenaikan harga sedemikian.

“Hasil siasatan kita mendapati tiada kenaikan seperti yang didakwa dan apabila kita tanya di mana ia berlaku, (jawapan) itu tidak ada.

“Maklumat ini dimaklumkan CAP (Persatuan Pengguna Pulau Pinang) dan apabila kita tanya, mereka tidak boleh menentukan ia berlaku di mana, sekadar ‘hearsay’ (khabar angin),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2022 Peringkat Jawatankuasa bagi KPDNHEP di Dewan Rakyat, hari ini.

Bagaimanapun, Rosol berkata, memang berlaku sedikit kenaikan harga sayur, namun tidak setinggi seperti yang didakwa.

Mengenai isu minyak masak peket sekilogram yang sukar diperoleh dalam pasaran pula, beliau berkata, masalah itu akan diselesaikan dalam tempoh terdekat.

“Saya ingin berterus terang di sini, (masalah berlaku) kerana bayaran kepada ‘repacker’ (pengilang pek semula) ini agak lambat. Mereka (pengilang) yang ada (masalah) aliran tunai, hampir menutup kilang.

“Alhamdulillah, kita sudah terima duit peruntukan daripada Kementerian Kewangan dan masalah itu akan diselesaikan dalam minggu ini,” katanya.

Menjawab isu harga roti Gardenia dikatakan akan naik mulai 1 Disember depan pula, Rosol berkata, pihaknya sedang menyiasat perkara terbabit.

“Kita sedang menyiasat sama ada ia benar atau tidak, namun hingga kini mereka tidak pernah memaklumkan kepada kementerian untuk menaikkan harga (roti),” katanya. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat