Terus semarak hubungan harmoni Istana Negara dan Putrajaya – Sultan Nazrin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pemangku Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berharap hubungan harmoni terus terjalin antara Istana Negara dan Putrajaya dalam semangat saling memahami dan saling menghormati.

Baginda bertitah demikian dalam istiadat mengucap selamat berangkat setelah menjalankan amanah Kepala Utama Negara bagi Persekutuan bermula 18 September lalu hingga tengah malam nanti.

“Pada detik 12.00 tengah malam nanti, berakhirlah tempoh tanggungjawab yang diamanahkan kepada Beta menjalankan tugastugas Ketua Utama Negara. Beta menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana dalam kesibukan tugas, masih bersedia meluang masa meraikan Beta untuk mengadakan istiadat selamat berangkat dalam semangat pergi berkhabar – pulang berberita.

“Semoga Allah Subhanahu Wataála senantiasa melimpahkan nur penyuluh membantu Perdana Menteri melakukan yang makruf, dan mendirikan dinding penghalang daripada dipengaruhi melakukan yang mungkar; semoga Perdana Menteri dikurniakan hidayah dan kekuatan ketika dihempas badai ujian dan disemaikan rasa syukur dan takwa
ketika berada di puncak kejayaan.

“Memandangkan isteri Perdana Menteri ialah rakyat Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, intai-intailah kami di negeri Perak, kalau ada kupang yang
lebih, hendaknya ada juga bahagian untuk negeri Perak.

” Sampaikan salam terima kasih kepada ahli-ahli Jemaah Menteri yang telah memberikan perhatian kepada titah-titah yang Beta zahirkan melalui Perdana Menteri. Beberapa orang Menteri telah mengambil tindakan susulan; ada yang menghadap Beta untuk menyembah maklum balas.

“Beta menzahirkan penghargaan kepada Ketua Setiausaha Negara dan pegawai-pegawai kerajaan yang membantu Beta dengan membekalkan maklumat serta menyembah nasihat sebelum Beta memperkenankan sesuatu keputusan, begitu juga kepada para pegawai dan petugas Istana Negara yang telah memudahkan Beta menyempurnakan tugas dalam tempoh masa Beta diamanahkan tanggungjawab Kepala Utama Negara,” titah Sultan Nazrin.

Baginda Sultan Perak juga mengagumi konsep Keluarga Malaysia yang diketengahkan Perdana Menteri, Ismail Sabri.

“Perkataan ‘keluarga’, mempunyai konotasi saling membantu, saling menghormati, saling berkunjung, saling berinteraksi, saling berhubung, saling berdialog, saling memberi dan saling menerima serta saling bermaaf-maafan dalam suasana mesra dan berkasih sayang; komponen-komponen yang melukiskan keharmonian.

“Semakin besar saiz keluarga, semakin kompleks cabaran yang dihadapi, kerana bilangan ahli keluarga yang ramai semestinya dikembari dengan suara yang semakin banyak, selera yang semakin rencam dan keperluan yang semakin pelbagai,” titahnya.

Sultan Nazrin menambah, Keluarga Malaysia ialah keluarga yang besar. Menjadi ketua kepada sebuah keluarga besar memerlukan kesabaran, keupayaan, tumpuan dan kegigihan
untuk melaksanakan seadil-adil perimbangan kepada seluruh ahli keluarga secara bijaksana.

Titah Baginda lagi, dalam hasrat menyemarakkan semangat Keluarga Malaysia, amatlah penting diberikan keyakinan bahawa setiap warga ada tempat dalam keluarga besar ini; amalkan budaya terbuka, bersedia menerima perbezaan pendapat dan kelainan pandangan, begitu juga menghargai perbezaan pendekatan dan perbezaan kaedah, agar
tercapai nanti secara konsensus pendapat, pandangan, pendekatan dan kaedah terbaik untuk manfaat negara dan warga.

” Suara yang berbeza sewajarnya diberi ruang untuk boleh diluahkan kerana rintihan hati yang dikurung berpotensi menyalakan bara marah dan mengalirkan lava dendam yang lebih volkano sifatnya,” ucap Baginda.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat