PM ketuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39, Sidang Kemuncak Berkaitan

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan yang dijadualkan berlangsung dari 26 hingga 28 Okt ini melalui persidangan video.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan Perdana Menteri akan diiringi Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.

“Penyertaan Malaysia dalam Sidang-sidang Kemuncak ASEAN kali ini mencerminkan komitmen teguh terhadap ASEAN terutamanya ketika rantau ini masih bergelut dengan cabaran-cabaran berikutan pandemik COVID-19,” menurut kenyataan itu.

Semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-38, pemimpin-pemimpin ASEAN dijangka membincangkan hala tuju ASEAN dan usaha membina komuniti ASEAN serta inisiatif utama ASEAN terhadap COVID-19

Selain itu, pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-39 pula, pemimpin-pemimpin ASEAN akan bertukar pandangan mengenai hubungan luar, isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan.

Menurut Wisma Putra, pemimpin-pemimpin ASEAN juga akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Campur Satu dengan para pemimpin dari Australia, China, India, Jepun, Republik Korea (ROK), Rusia, Amerika Syarikat, Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga dan Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS).

Di luar Sidang Kemuncak ASEAN, Perdana Menteri akan diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, bagi menyertai Sidang Kemuncak Kawasan Pertumbuhan Timur ASEAN Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina Ke-14 (Sidang Kemuncak BIMP-EAGA) dan Sidang Kemuncak Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand ke-13 (Sidang Kemuncak IMT-GT ke-13) pada 28 Oktober 2021. Perdana Menteri juga akan mempengerusikan Sidang Kemuncak IMT-GT ke-13.

Sidang Kemuncak ASEAN kali ini bertemakan “We Care, We Prepare, We Prosper” dan Brunei Darussalam merupakan pengerusi bagi tahun 2021.

— BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat