Dasar Agromakanan Negara 2.0 sasar pertumbuhan 4.5 peratus setahun dalam RMK12 – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Menerusi kerangka Dasar Agromakanan Negara (DAN 2.0) 2021-2030, sasaran purata pertumbuhan sektor agromakanan dijangka berkembang pada kadar 4.5 peratus setahun dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, DAN 2.0 telah digubal bertujuan meneruskan agenda pembangunan sektor agromakanan, dengan tumpuan khusus terhadap usaha meningkatkan sekuriti makanan negara.

Katanya, usaha tersebut bakal dijayakan melalui pemodenan dan pertanian pintar serta memperkukuh rantaian nilai agromakanan. Keutamaan dasar kali ini, ditumpukan kepada usaha mempertingkatkan produktiviti dan pendapatan serta kualiti hidup dalam kalangan pengeluar sektor makanan.

“Isu sekuriti makanan semakin mendapat tumpuan di peringkat global. Dalam Persidangan United Nations Food Systems Summit pada 23 September lalu, saya telah menggariskan fokus transformasi sistem makanan negara.

“Fokus ini bakal dilaksanakan melalui DAN 2.0, dengan tempoh pelaksanaannya yang selari dengan Agenda Pembangunan Mapan 2030,” katanya secara maya ketika Majlis Pelancaran Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0).

Ismail Sabri menambah, bagi mencapai matlamat DAN 2.0, kaedah pertanian pintar menjadi fokus memodenkan sektor ini. Ia bertujuan meningkatkan produktiviti yang merangkumi semua subsektor agromakanan.

“Pertanian pintar ini merupakan antara Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama yang telah digariskan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Sehubungan itu, DAN 2.0 telah meletakkan strategi pemodenan dan pertanian pintar sebagai key game changer bagi menjayakan transformasi sektor agromakanan.

“Ia bakal dipacu melalui dana pembiayaan, insentif pelaburan dan tenaga kerja bagi meningkatkan tahap penerimagunaan teknologi Revolusi Perindustrian Keempat,” katanya.

Menurut Perdana Menteri lagi, dalam hal berkaitan, bidang Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersilan dan Inovasi akan menjadi nadi pembangunan sektor ini.

“Seiring itu, kerjasama pelbagai agensi penyelidikan kerajaan, institusi pengajian tinggi awam dan swasta, turut digembleng dalam menjayakan
DAN 2.0 ini.

” Marilah kita menjayakan DAN 2.0, menerusi kolaborasi bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan demi kelangsungan prestasi sektor agromakanan negara,” kata beliau.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat