Keperluan Mendesak Untuk Tingkat PMKS Dilengkapi Teknologi Digital Di ASEAN – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Terdapat keperluan mendesak untuk meningkatkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana yang dilengkapi dengan teknologi digital dalam kalangan komuniti ASEAN, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata PMKS yang kurang akses kepada teknologi berisiko tinggi untu ketinggalan dalam era pasca pandemik ini.

“Susulan sidang kemuncak ini, ekosistem sedia ada semua negara ASEAN perlu juga diperkukuh, manakala beberapa bidang memerlukan penyelarasan dalam dasar tertentu,” katanya dalam ucap tama beliau pada Sidang Kemuncak Pelaburan Perniagaan ASEAN 2021, yang diadakan secara maya di sini, hari ini.

Justeru, beliau menggesa negara-negara ASEAN agar saling bekerjasama untuk memastikan teknologi digital dapat memberi manfaat kepada semua pihak.

“Dalam mencapai aspirasi ini, pengalaman luas, kapasiti teknologi dan pendekatan inovatif sektor swasta boleh diperkukuhkan lagi menerusi dasar awam.

“Saya percaya dengan memanfaatkan sinergi ini, kita akan dapat membuka ruang bagi ASEAN yang berkeupayaan digital secara inklusif dalam masa terdekat ini,” katanya.

Ismail Sabri berkata, meskipun penyepaduan digital telah membolehkan ASEAN memanfaatkan daya saing kolektifnya dalam ekonomi global dan merangsang pertumbuhan domestik, perbezaan dalam kesediaan teknologi dan kesalinghubungan masih belum dapat ditangani.

Sehubungan itu, katanya, rantau ini tidak boleh mengabaikan kepantasan dan skala perubahan yang memberi implikasi kepada masyarakat, yang mana dalam proses itu telah melebarkan jurang ketidaksamaan antara negara.

“Persoalan utamanya – bagaimana kita memanfaatkan teknologi ini bagi persediaan perniagaan dan rakyat kita pada masa hadapan, sambil mengurangkan peralihan gangguan?

“Oleh itu, kita perlu membentuk semula ekosistem digital kita dengan cara yang memastikan pertumbuhan yang inklusif, mampan dan berdaya tahan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, mustahak bagi setiap negara ASEAN untuk menyediakan infrastruktur digital yang mudah diakses dan berpatutan bagi semua, yang seterusnya memerlukan pembinaan infrastruktur digital yang inklusif.

Menurutnya, Malaysia telah berusaha untuk menambah baik infrastruktur asas dengan pelancaran inisiatif Rangka Tindakan Digital Malaysia (MyDIGITAL) pada awal tahun ini sejajar dengan Revolusi Industri Keempat (IR4.0).

“Sasaran kami adalah untuk mentransformasikan negara menjadi ekonomi berpendapatan tinggi yang dipacu teknologi digital, di samping meningkatkan infrastruktur digital bagi kesalinghubungan yang lebih lancar dan menyeluruh.

“Aspirasi ini ketika ini sedang direalisasikan menerusi pelan tindakan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dengan peruntukan kira-kira US$6.7 bilion,” katanya.

Malaysia juga menyasarkan untuk menambah baik kualiti perkhidmatan serta liputan jalur lebar yang turut membuka laluan bagi pelaksanaan teknologi 5G untuk membolehkan negara ini meningkatkan persiapan berkaitan selain menjadi pemangkin ekosistem kondusif untuk sebuah ekonomi yang inovatif.

Pada masa sama, perdana menteri turut menekankan keperluan bagi ASEAN menggalakkan aspek literasi digital secara inklusif atau terangkum.

Malah, berteraskan aspek itu, Malaysia telah memberi tumpuan terhadap usaha membangunkan bakat atau pekerja digital yang tersedia untuk masa depan, sepertimana digariskan dalam strategi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang dibentangkan baru-baru ini, kata beliau.

Menurut Ismail Sabri, di bawah pelan tersebut, pendekatan berterusan dalam aspek peningkatan kemahiran dan kemahiran semula literasi digital akan dilaksanakan bagi memastikan tenaga kerja yang relevan pada sepanjang masa.

Beliau berkata, Malaysia juga secara konsisten bertindak memperluas latihan industri, termasuk pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional serta latihan, penyelidikan dan pembangunan pendidikan vokasional selain pengkomersialan dan inovasi.

Perdana Menteri berkata, pelbagai inisiatif itu dapat mengurangkan lagi jurang kemahiran digital yang ketara di serata rantau ASEAN.

“Ini penting bagi mencapai aspek kerjasama dan kemakmuran lebih baik dalam kalangan negara-negara ASEAN memandangkan terdapat segelintir negara anggotanya yang mencatat kadar penembusan digital melebihi 90 peratus manakala yang lain cuma 40 peratus,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, Malaysia turut meningkatkan usaha intervensi dasar yang memberi tumpuan khusus bagi memperhebatkan lagi penerimagunaan digitalisasi oleh PMKS.

“Pendekatan sedemikian adalah penting bagi Malaysia berikutan PMKS di negara ini mewakili lebih daripada 90 peratus perniagaan dalam ekonomi ASEAN.

“Tanpa sebarang persediaan dan langkah sewajarnya boleh menyebabkan kita menjadi antara negara yang paling teruk terjejas akibat kesan buruk pasca-pandemik,” katanya.

Sehubungan itu, perdana menteri menyifatkan kejayaan penerimagunaan teknologi digital sebagai teras bagi menghidupkan semula serta pemulihan ekonomi secara konsisten dan mampan.

“Digitalisasi serta inovasi teknologi telah diserapkan dalam inisiatif dan pelan tindakan, termasuk sebahagian perjanjian perdagangan bebas.

“Pelan Hala Tuju Bandar Seri Begawan yang dimuktamadkan baru-baru ini, telah menyuntik aspirasi dalam memacu transformasi ASEAN kepada masa depan digital yang mampan. Inisiatif ini juga sejajar dengan Tinjauan Global sebelum ini yang menjangkakan Asia sebagai lokasi menempatkan jumlah terbesar syarikat-syarikat platform digital,” kata beliau.

Pada 2016, permodalan pasaran Asia telah mencecah melebihi US$930 bilion manakala Asia Tenggara mencatatkan sejumlah US$7 bilion. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat