KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menggesa kepimpinan tertinggi dan pihak pengurusan Perikatan
Nasional (PN) tidak meremehkan peranan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dengan melemparkan tohmahan jahat yang tidak berasas untuk meraih simpati politik dan menutup kegagalan kepimpinan PN yang sedia ada.
Menurut Azmin, RoS telah berulang kali memberi peringatan secara bertulis kepada PN supaya pertubuhan ini hendaklah menjalankan segala aktiviti pertubuhan selaras dengan Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832] dan Perlembagaan Perikatan Nasional.
“Bersatu telah menerima salinan perintah penggantungan di bawah subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832] yang menggantung semua kegiatan Parti PN berkuat kuasa 23 September 2026 daripada RoS.
“Pada masa yang sama, pihak kami dimaklumkan melalui siaran media RoS bertarikh 24 September 2026 bahawa RoS juga telah mengeluarkan notis di bawah subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966 bertarikh 22 September 2026 bertujuan untuk meminta PN memberikan penjelasan berkenaan aduan yang dilaporkan oleh Bersatu kepada RoS.
“Saya menegaskan bahawa Bersatu telah membuat aduan bertulis pada 11 Ogos 2026 kepada RoS berkenaan dengan pelanggaran Perlembagaan PN oleh kepimpinan baru PN.
“Aduan tersebut antara lain menyebut bahawa Bersatu tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional pada 16 Julai 2026 serta isu berkaitan kedudukan keanggotaan Bersatu dalam gabungan PN.
“Tindakan menafikan hak Bersatu untuk menghadiri, memberi pendapat dan mengundi di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi adalah satu
kesalahan dan pelanggaran Fasal 7.1 Perlembagaan PN.
Selain itu, kata Azmin lagi, Bersatu juga telah mengemukakan aduan kepada RoS mengenai kewujudan ‘kuasa veto’ yang mempengaruhi keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Tertinggi PN.
Tambah beliau, individu yang bukan pemegang jawatan dalam Majlis Tertinggi PN sering mengeluarkan kenyataan yang boleh disifatkan sebagai satu ancaman (‘threat’) dan tekanan untuk melucutkan dan/atau menggugurkan Bersatu sebagai parti anggota yang sah dalam parti Perikatan Nasional. Amalan ini bercanggah dengan kuasa yang diberikan kepada Majlis Presiden Perikatan Nasional di bawah Fasal 7A.1(c) Perlembagaan Perikatan Nasional.
“RoS telah mengesahkan menerima aduan Bersatu dan memaklumkan bahawa JPPM sedang melaksanakan penelitian terhadap aduan yang
dibangkitkan berdasarkan Akta Pertubuhan 1966 serta peraturan-peraturan berkaitan dan perlembagaan PN.
“Saya telah hadir mewakili Bersatu untuk memberi keterangan kepada RoS pada 18 Ogos 2026 di Ibu Pejabat RoS, Putrajaya berhubung aduan yang dibuat oleh Bersatu. Saya telah memberikan kerjasama penuh kepada Pegawai Penyiasat RoS dan menerangkan asas aduan yang dibuat pada 11 Ogos 2026.
“Bersatu akan senantiasa melaksanakan tanggungjawab untuk memelihara Perlembagaan PN dan memastikan perjalanan parti ini adalah telus, berintegriti dan menjunjung prinsip kebertanggungjawaban,” tegas Azmin.



