KUALA LUMPUR — Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal-Ehwal Undang-Undang), Datuk Zaid Ibrahim menyifatkan pendakwaan terhadap Tan Sri Rais Yatim atas kesalahan menghasut sebagai mendukacitakan, sambil mempersoalkan sama ada undang-undang itu dikuatkuasakan secara sama rata dalam kemelut institusi diraja Negeri Sembilan.
Dalam tulisannya, Zaid berkata Rais, yang berusia 84 tahun telah lama berkhidmat kepada negara dan mempunyai pengetahuan mendalam mengenai adat serta undang-undang Negeri Sembilan.
Menurut pertuduhan, Rais didakwa menyebut perkataan berunsur hasutan, antaranya mendoakan keselamatan Tunku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 dan menyeru orang ramai menumpukan taat setia kepadanya atas dasar undang-undang serta adat negeri.
Rais, yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah hotel di Simpang Ampat, Alor Gajah, Melaka, pada jam 1 tengah hari, 5 Jun lalu.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama, yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Zaid berkata persoalan sama ada Undang Yang Empat menggunakan kuasa mereka secara sah untuk menurunkan Yang di-Pertuan Besar ialah isu undang-undang yang sepatutnya dirujuk kepada mahkamah.
“Jika Undang Yang Empat telah menggunakan kuasa mereka secara tidak wajar, mengapa perkara itu tidak dirujuk kepada mahkamah untuk diputuskan?” katanya.
Beliau turut mempersoalkan mengapa kenyataan yang didakwanya memperlekehkan Undang Yang Empat tidak menerima tindakan serupa.
Menurutnya, penghormatan kepada institusi beraja perlu turut merangkumi Undang Yang Empat yang mempunyai kedudukan tersendiri dalam adat Negeri Sembilan.
Zaid mendakwa kemelut itu dibiarkan berlarutan kerana pihak tertentu mahu mengambil kesempatan politik daripadanya.
Beliau turut menyifatkan tindakan membatalkan pelantikan anggota Exco yang dipilih dan menggantikan mereka dengan ADUN Pakatan Harapan sebagai tidak berperlembagaan.



