Pembangkang tak mahu jadi sekadar ‘rubber stamp’ kepada kerajaan, pertimbang tawaran PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu Pakatan Harapan (PH) akan pertimbang jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri untuk menyertai Majlis Pemulihan Negara dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19.

Kata Presiden PKR itu, pertimbangan berkenaan adalah demi memastikan ia dibuat secara ikhlas untuk menangani pandemik COVID-19 dan kemelesetan ekonomi serta bukan sekadar tangkap muat atau menjadi ‘rubber stamp’ kepada pandangan kerajaan semata-mata.

Anwar yang juga Pengerusi PH berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan pimpinan utama semua parti pembangkang untuk mempelawa menyertai PH.

“Majlis Presiden PH telah memutuskan bahawa Ketua Pembangkang (Anwar) akan mengadakan satu pertemuan dengan pemimpin utama kesemua parti pembangkang dalam masa terdekat, termasuk menjemput mereka untuk menyertai atau bekerjasama dengan Pakatan Harapan.

“Ini selaras dengan ketetapan pemukiman kepimpinan Pakatan Harapan di Port Dickson pada bulan April yang menyatakan keterbukaan Pakatan Harapan berunding dan bekerjasama serta menggembleng seluruh tenaga di bawah konsep ‘Khemah Besar’ demi memantapkan blok pembangkang merangkumi 105 Ahli Parlimen,” ujar kenyataan bersama PH iaitu Anwar, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Menurut mereka, pertemuan tersebut antara lain akan membincangkan isu-isu politik semasa serta persiapan bagi menghadapi sidang Parlimen yang bakal bermula 6 September, dengan kemungkinan satu sidang khas diadakan lebih awal dari itu untuk membahaskan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri serta mengisikan kekosongan Timbalan Speaker Dewan Rakyat ekoran peletakan jawatan Datuk Seri Azlina Othman Said.

Ujarnya, fokus Pakatan Harapan adalah ke arah menjadi pembangkang yang berkesan dengan mengutarakan kritikan, teguran, syor dan pandangan yang membina dan bertanggungjawab, selain membentangkan cadangan-cadangan alternatif yang bersesuaian kepada dasar-dasar Kerajaan terutama berkait usaha menangani COVID-19, menghidupkan semula ekonomi, serta menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat.

“Pakatan Harapan akan mengutamakan reformasi institusi termasuk Parlimen, reformasi fiskal, reformasi perundangan termasuk Undi 18 dan Akta Anti Lompat Parti, penambahbaikan Pelan Pemulihan Negara, serta menegaskan kebebasan sistem kehakiman yang tidak patut dikacau ganggu oleh mana-mana pihak,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat