Kementerian Perpaduan lancar Program Gerak Integrasi Perpaduan (GRIP)

KUALA LUMPUR, – Perpaduan nasional bukan hanya tanggungjawab pemimpin, tetapi mesti dipupuk sejak awal bermula di sekolah.

Dalam usaha memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan generasi muda, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus mempergiat pelbagai pendekatan strategik termasuk pengukuran menerusi Indeks Perpaduan Sekolah.

Indeks yang dibangunkan bagi menilai keberkesanan pelaksanaan inisiatif perpaduan dalam persekitaran sekolah ini menunjukkan peningkatan ketara sejak 2021. Skor perpaduan meningkat daripada 6.27 pada tahun tersebut kepada 7.10 pada 2022, dan melonjak kepada 7.51 pada 2023. Angka ini menggambarkan kejayaan kolektif warga pendidik dan pelajar dalam membina integrasi sosial dan nilai perpaduan yang kukuh.

Sebagai memperkukuh lagi pendekatan sedia ada, Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) telah memperkenalkan Program Gerak Integrasi Perpaduan (GRIP) Kelab Rukun Negara Peringkat Kebangsaan Tahun 2025, yang dilancarkan secara rasmi di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Afzan.

Program GRIP direka bentuk berdasarkan modul silang budaya yang bersifat interaktif dan berteraskan pengalaman langsung. Ia memberi tumpuan kepada pembinaan kefahaman pelajar terhadap nilai kenegaraan, adat dan warisan budaya, serta nilai sivik dan moral dalam konteks masyarakat majmuk. Pendekatan ini menggabungkan intipati utama program perpaduan terdahulu seperti Program Kenali Kita, Kem Perpaduan Anak Malaysia dan pelbagai inisiatif silang budaya.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, menyatakan bahawa pelaksanaan GRIP adalah selaras dengan aspirasi Dasar Perpaduan Negara (DPN) yang memberi penekanan kepada pembinaan identiti nasional, pengukuhan integrasi sosial dan pembentukan masyarakat inklusif. Menurut beliau, pelajar tidak hanya perlu cemerlang dalam akademik, tetapi juga perlu memiliki kefahaman mendalam terhadap sejarah negara, kepelbagaian budaya dan nilai perpaduan sebagai asas keharmonian.

GRIP digerakkan melalui pelbagai aktiviti yang disusun mengikut tiga fokus utama – kenegaraan, budaya dan nilai-nilai murni – dan akan dilaksanakan secara berfasa ke seluruh negara bermula tahun ini. Melalui penglibatan aktif pelajar dalam program ini, kerajaan berharap dapat melahirkan barisan generasi muda yang menjadi ejen perpaduan di sekolah dan dalam komuniti masing-masing.

Program ini bukan sekadar pengisian kokurikulum, tetapi merupakan strategi jangka panjang membina masyarakat Malaysia yang lebih bersatu padu, inklusif dan bertanggungjawab, bermula daripada tapak pendidikan paling asas iaitu sekolah.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat