Sultan Kedah perkenan merasmikan Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2025

Oleh Zihan Zari

ALOR SETAR – Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah perkenan mencemar duli berangkat menghadiri dan merasmikan Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2025 (HMAPK 2025) di Muzium Padi, Gunung Keriang dekat sini pada Khamis.

Turut berangkat Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.

Turut hadir, Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Hj. Muhammad Sanusi Md. Nor; Pegawai Kewangan Kedah, Dato’ Wira Syed Khairol Anuar Syed Abidin; Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Datuk Kamarul Baharin A.Kasim; Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah, Dato’ Hj. Mohd Salleh Saidin; Speaker DUN Kedah, Zubir Ahmad; Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), Dato’ Hj. Ismail Abu; dan Pengarah Lembaga Muzium Negeri Kedah (LMNK), Suhaidi Shukri.

Muzium Padi sebuah lokasi yang bukan sahaja simbolik kepada identiti negeri jelapang padi, malah lambang kekayaan sejarah warisan Kedah.

Tahun ini telah memasuki tahun ke-29 penganjuran sambutan Hari Muzium Antarabangsa (HMA) dan merupakan kali ke-2, Kedah dipilih menjadi tuan rumah sambutannya selepas 2016.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Hj. Muhammad Sanusi Md. Nor berkata kehadiran lebih 1,000 warga muzium dari seluruh negara, termasuk dari Singapura dan Indonesia, membuktikan bahawa warisan adalah milik bersama, dan perpaduan budaya serantau terus kita junjung.

Menurut beliau, Kedah bukan sekadar negeri tertua di Malaysia, malah Kesultanan Kedah yang berusia 889 tahun merupakan antara institusi diraja tertua di dunia yang masih wujud, ini bukan sekadar fakta sejarah, tetapi satu amanah besar untuk kita pelihara dan wariskan.

“Kerajaan Negeri telah menetapkan dasar menyeluruh dalam memelihara warisan negeri termasuk, perlindungan tapak warisan dan monumen bersejarah.

“Selain itu, pemuliharaan artifak dan manuskrip penting; promosi pelancongan berasaskan warisan seperti Mek Mulong; pendidikan dan kesedaran awam melalui program komuniti dan sekolah serta usaha mendapatkan pengiktirafan UNESCO untuk warisan budaya negeri Muzium adalah cerminan ketamadunan bangsa, wajah yang merentas kaum dan generasi, ”katanya.

Katanya lagi, penganjuran FHMAPK 2025 amat bertepatan dengan kempen Tahun Melawat Kedah 2025 (TMK2025) bertemakan ‘Experience Kedah’ merupakan satu ajakan mesra rakyat Kedah untuk pelancong datang dan alami sendiri keunikan negeri ini.

Lima komponen utama diketengahkan iaitu alam semula jadi, Gastronomi, Seni dan Budaya, Sejarah serta pengalaman komuniti dengan tema ‘Harmoni Dalam Kepelbagaian’, festival ini menjadi pentas untuk kita meraikan kepelbagaian budaya sambil memperkukuh semangat kebangsaan.

Muzium bukan sekadar tempat menyimpan sejarah, tetapi platform untuk menghidupkan semula warisan dalam bentuk yang segar dan interaktif.

Ujarnya, Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam memelihara Sejarah dan warisan negara, walaupun berbeza fahaman politik, semangat perpaduan dan tanggungjawab bersama terhadap warisan bangsa tetap menjadi keutamaan.

Kami menyambut baik usaha Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dalam memperkasa institusi muzium melalui cadangan Rang Undang-Undang Muzium Malaysia (RUUMM) ke arah tadbir urus yang lebih profesional dan beretika, selaras dengan piawaian antarabangsa.

“Kerajaan Negeri akan terus memperkasakan Muzium Negeri Kedah sebagai institusi utama antaranya penyelidikan sejarah dan Arkeologi, dan pendidikan warisan kepada generasi muda.

“Selain itu, pusat rujukan budaya dan identiti negeri serta pemangkin kepada pelancongan berasaskan warisan

“Kami juga menyokong penuh usaha digitalisasi dan inovasi dalam penyampaian kandungan muzium agar lebih inklusif dan mesra generasi baharu.

“Muzium mesti menjadi ruang yang terbuka, mesra dan relevan kepada semua, dari kanak-kanak hingga warga emas, dari bandar hingga ke pedalaman.

“Kepada semua kontinjen muzium, penggiat warisan, pelajar dan pelancong, ambillah peluang ini untuk benar-benar ‘Mengalami Kedah’ dan rasai kehangatan budayanya, keindahan alamnya dan kekayaan sejarahnya,”ujarnya lagi.

Terdahulu, Ketua Pengarah JMM, Datuk Kamarul Baharin A.Kasim berkata HMAPK 2025 adalah satu acara besar dalam kalendar permuziuman negara yang diraikan setiap tahun dan lebih istimewa, sambutannya pada tahun ini mengisi sebahagian daripada acara TMK2025.

Menurut beliau, meskipun tarikh sambutan HMA telah pun disambut di seluruh dunia pada tarikh 18 Mei lalu, termasuk di peringkat kebangsaan telah dilancarkan dalam satu seminar antarabangsa di Sasana Kijang, Bank Negara, Kuala Lumpur.

Namun penganjurannya di Kedah lebih menyeluruh dengan menghimpunkan semua muzium sama ada Muzium Persekutuan, Muzium Negeri mahupun Muzium-Muzium Persendirian termasuk muzium dari Singapura dan Indonesia serta pihak swasta.

“Muzium, tidak kira milik siapa dan walau di mana jua lokasinya, ia adalah cerminan ketamadunan bangsa. Muzium mencerminkan wajah kemajmukan kita, wajah yang merentas kaum dan etnisiti, dari Perlis hingga ke Sabah, yang membentuk keunikan dan kekayaan khazanah nusa dan bangsa.

“Hari ini kita berada di Muzium Padi, sebuah muzium yang sinonim dengan Negeri Jelapang Padi, ia bukan sekadar cerita bagaimana sebutir padi menjadi beras atau dari beras menjadi nasi, tetapi lebih dari itu, ia sarat dengan cerita dan kisah hidup yang diwarisi turun-temurun oleh masyarakat kita.

“Kerana itu, muzium merupakan instrumen penting dalam menyuburkan jiwa yang patriotik,”katanya.

Beliau menjelaskan bagaimana Perdana Menteri Pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman, memainkan peranan yang cukup signifikan dalam penubuhan Muzium Negara.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa beliau sebagai anak kelahiran Kedah, telah menjadikan senibina Balai Besar Kedah, sebagai inspirasi untuk rekabentuk bangunan Muzium Negara.

Almarhum yang berpandangan jauh tidak sekadar mahu membina sebuah bangunan muzium semata- mata, tetapi lebih daripada itu beliau berusaha memastikan bangunan muzium bertaraf nasional itu dibina sepenuhnya mengikut identiti dan senibina tempatan.

Maka jika kita melihat rekabentuk Muzium Negara pada hari ini, itulah refleksi kehendak Almarhum Tunku, ketika negara waktu itu masih dipenuhi bangunan bercirikan kolonial, Muzium Negara tersergam sebagai sebuah monumen ikonik kebangsaan yang mengisi identiti sebuah negara yang baharu merdeka ketika itu.

“Sebagai pengendara institusi muzium di peringkat persekutuan, JMM telah merancang dan mengambil langkah yang perlu ke arah memartabatkan institusi muzium di negara ini.

“Muzium mungkin lebih dilihat sebagai entiti warisan, namun peranannya sebagai entiti yang menghubungkan semua komuniti melalui khazanah sejarah dan budaya negara amat penting.

“Muzium bukan lagi tempat yang eksklusif, senyap atau statik tetapi muzium telah mengambil pendekatan inklusif dan kreatif, mesra pelawat dan melibatkan semua lapisan masyarakat tanpa mengira had usia, kaum, latar belakang sosial mahupun keupayaan fizikal yang menjadi penghubung kepada seluruh komuniti melalui dialog, interaksi, wacana mahupun refleksi,”katanya lagi.

Ujarnya, pendekatan kreatif menerusi penggunaan teknologi baharu pastinya akan menarik keterlibatan lebih aktif dalam kalangan generasi muda. Minat mereka terhadap warisan sama ada yang bersifat ketara (tangible) atau tidak ketara (intangible) mesti dikembangkan.

Strategi ini bergerak seiring dengan hala tuju permuziuman global. ICOM pada tahun ini mengangkat tema ‘The Future of Museums in Rapidly Changing Communities’ atau Masa Depan Muzium dalam Komuniti Yang Bergerak Pantas.

“Sambutan Festival HMAPK kali ini mengambil pendekatan ‘merakyatkan’ muzium. Ia adalah suatu program berkonsepkan ‘reach out’, yang mana muzium tidak hanya menunggu untuk dikunjungi tetapi juga mensasarkan untuk sampai kepada semua lapisan masyarakat, jauh atau dekat, di seluruh pelusuk tanah air.

“Dianggarkan terdapat sebanyak 217 buah muzium di seluruh negara pada masa ini dengan anggaran jumlah pelawat melebihi empat juta orang setahun dan muzium di negara ini terus bertambah setiap tahun, khususnya Muzium-Muzium Persendirian.

Justeru, dalam usaha memperkasa profesionalisme muzium, JMM baru-baru ini telah mengangkat cadangan penggubalan Rang Undang-Undang Muzium Malaysia (RUUMM).

“RUU memastikan institusi muzium di negara ini khususnya Muzium Persendirian, ditadbir mengikut piawaian amalan terbaik permuziuman berdasarkan UNESCO 2015 Recommendation concerning the Protection and Promotion of Museums and Collections, their Diversity and their Role in Society dan juga Kod Etika ICOM (International Council of Museums).

“Pematuhan kepada amalan terbaik permuziuman akan memastikan institusi muzium kita berfungsi secara profesional dan beretika tanpa dicemari unsur-unsur yang boleh mencetuskan kontroversi atau menyentuh sensitiviti kaum.

“Cadangan penggubalan RUU ini diharap akan diterima baik oleh semua negeri dan mudah – mudahan institusi muzium di negara ini akan lebih dinamik, progresif dan terus relevan kepada masyarakat, ”ujarnya lagi.

Tambahnya, HMAPK 2025 menyaksikan sebanyak 102 aktiviti telah disusun sepanjang sambutan ini berlangsung bermula 23 sehingga 29 Julai 2025 melibatkan penyertaan bersama warga muzium dan komuniti setempat telah diatur sepanjang tempoh sambutan.

Di antaranya, pameran dari setiap muzium dan institusi berkaitan dari seluruh negara, demonstrasi permainan tradisional, Fun Experience dan pertandingan masakan, jualan kraf, sukan rakyat, persembahan kebudayaan, dan artis jemputan, bengkel, cabutan bertuah, muzium fun run dan fun ride, jom turun bendang, malam kerohanian dan banyak lagi.

“Malah, program ini akan turut menyantuni masyarakat di Baling termasuk komuniti Kensiu iaitu suku kaum Orang Asli dari rumpun bangsa Semang-Negrito yang merupakan suku kaum yang tertua di Semenanjung,”tambahnya lagi. SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat