Semua 220 Ahli Parlimen Boleh Hadir Secara Fizikal, Tiada Sidang Hibrid – Speaker

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kesemua 220 Ahli Parlimen dibenarkan menghadiri Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 yang berlangsung di Dewan Rakyat mulai esok (Isnin) hingga 29 Julai dan 2 Ogos ini, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun.

Beliau berkata cadangan untuk melaksanakan sidang khas Dewan Rakyat secara hibrid ditangguhkan dan soal pelaksanaannya juga tidak akan dibincangkan pada mesyuarat khas itu.

Justeru katanya, tiada had jumlah Ahli Parlimen untuk berada dalam Dewan Rakyat ditetapkan, malah semua wakil rakyat termasuk mereka yang belum divaksin dibenarkan untuk hadir.

“Soal melaksanakan sidang parlimen hibrid tidak akan dibincangkan dalam sidang khas dan kita tangguh sekejap cadangan itu untuk diperhalusi dengan lebih lanjut mengenai keperluan undang-undang dan sebagainya. Itulah statusnya sekarang.

“Cadangan parlimen hibrid itu adalah untuk kemudahan bagi membolehkan sesiapa yang mungkin tak dapat datang (persidangan Dewan Rakyat) atau tidak boleh hadir, disebabkan COVID-19.

“Kita berpendapat cadangan pelaksanaan parlimen hibrid ini akan menjadikan lebih selamat untuk semua orang,” katanya dalam sidang media secara maya baru-baru ini, bagi memperincikan persiapan menjelang mesyuarat khas itu.

Azhar berkata ketika ini hampir semua Ahli Parlimen telah divaksin, dengan maklumat terkini menunjukkan 205 daripada Ahli Parlimen telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19, 12 Ahli Parlimen menerima satu dos, dan tiga lagi belum divaksin.

Dewan Rakyat mengandungi 222 kerusi parlimen, namun ketika ini ia hanya mempunyai 220 Anggota Parlimen selepas dua daripada Ahli Parlimen meninggal dunia.

Mengenai agenda perbincangan persidangan khas Dewan Rakyat itu, Azhar berkata usul lain selain daripada perkara yang telah ditetapkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam aturan mesyuarat, tidak akan dibincangkan.

Jelas beliau, berbeza dengan persidangan yang biasa mesyuarat khas Dewan Rakyat dibuat berdasarkan Peraturan 11(3) dalam Peraturan-Peraturan Majlis Mesyurat Dewan Rakyat yang membolehkan perdana menteri mengadakan sidang khas dengan urusan mesyuarat itu ditetapkan oleh perdana menteri sendiri.

“…hanya perdana menteri yang boleh menetapkan perkara yang berlangsung dalam sidang khas ini. Jadi tiada siapa yang boleh katakan apa yang perlu dibincangkan dalam sidang khas ini, selain perdana menteri.

“Ahli Parlimen yang telah menghantar usul untuk sidang khas ini, saya akan maklumkan pada mereka. Usul mereka itu tidak boleh dibawa kehadapan, ke sidang akan datang, dan perlu hantar pemberitahuan (usul) yang baharu,” katanya.

Peraturan 11(3) memperuntukkan, pada masa Majlis dalam tangguhan jika perdana menteri memaklumkan kepada Yang Dipertua iaitu bagi faedah orang ramai, mustahak Majlis mengadakan mesyuarat dahulu daripada tarikh yang telah ditetapkan, maka Yang Dipertua hendaklah dengan serta-merta mengeluarkan pemberitahu menyatakan berapa hari bulan hendak diadakan mesyuarat itu dan Majlis hendaklah mengadakan mesyuarat pada masa yang disebutkan dalam pemberitahuan itu. Urusan-urusan bagi hari itu hendaklah ditetapkan oleh perdana menteri dan pemberitahuan berkenaan dengan urusan itu hendaklah dihantar kepada ahli-ahli, tidak lewat daripada masa hendak diadakan mesyuarat itu.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan, sidang khas Parlimen itu bertujuan memberi penerangan kepada Ahli-Ahli Parlimen mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan semua proklamasi darurat serta ordinan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas mengenai dakwaan tiada sesi soal jawab atau perbahasan pada sidang khas itu, Azhar menyifatkan dakwaan itu hanyalah ‘misconception’ (salah faham) kerana menurutnya ada ruang untuk Ahli Parlimen mengemukakan soalan serta pendapat selepas selesai sesi penerangan oleh menteri terlibat.

“Dalam notis saya kepada semua Ahli Parlimen saya telah nyatakan dengan terang dan jelas, bahawa saya akan membenarkan soalan, membenarkan cadangan, semua perbincangan dan segalanya. Saya tidak tahu dari mana datangnya persepsi yang menganggap saya tidak akan benarkan sebarang perbahasan,” katanya.

Berhubung cadangan memanggil Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun ke sidang khas bagi menjawab soalan mengenai ordinan yang diwartakan sepanjang tempoh penguatkuasaan Proklamasi Darurat, Azhar berkata pertamanya, dalam kerangka perundangan dan Perlembagaan Persekutuan tidak dinyatakan mengenai perkara itu.

“Kedua, terpulang peguam negara nak datang atau tak, itu kalau dibenarkan kerana dalam kerangka Perlembangaan Persekutuan sekarang tidak dinyatakan sama ada boleh hadir.

“Di Malaysia peguam negara bukan lantikan politik, maka dia tidak perlu menjawab kepada Parlimen. Kalau di UK, peguam negara adalah lantikan politik dan dia menjawab kepada parlimen,” katanya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,574FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat