Warga Singapura dalang duti kastam tiris RM3.5 bilion dicekup

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Dalang individu warga Singapura yang disyaki merasuah pegawai penguatkuasa di Pelabuhan Klang, Selangor menyebabkan ketirisan duti kastam dianggarkan berjumlah RM3.5 bilion kepada negara akhirnya berjaya diberkas.

Susulan itu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak menahan reman suspek yang disyaki membayar rasuah kepada pegawai penguat kuasa sebagai balasan membantu melepaskan barang-barang yang diimport oleh syarikat-syarikat miliknya untuk tidak dikenakan bayaran cukai.

Memetik laporan Harian Metro sumber berkata, suspek yang juga seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40-an berjaya ditahan kira-kira jam 5 petang semalam ketika diminta hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Putrajaya.

Susulan penahanan itu, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi untuk mendapat perintah reman selama enam hari sehingga 30 Jun hadapan.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.

“Suspek disyaki melakukan perbuatan rasuah itu antara tahun 2022 hingga 2024. Siasatan awal mendapati wang suapan itu diberikan secara tunai kepada kesemua pegawai penguat kuasa.

“Sehingga kini dipercayai seramai 11 pegawai penguat kuasa yang terlibat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim, ketika dihubungi akhbar itu mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 16(a) dan 17(a) Akta SPRM 2009.

SPRM sebelum mengesan lebih 100 syarikat disyaki terbabit sindiket ‘kontena terbang’ yang merasuah pegawai penguat kuasa bagi melicinkan proses penyeludupan tanpa melalui pengisytiharan serta pemeriksaan di pintu masuk negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, syarikat berkenaan berperanan sebagai ‘forwarding agent’ sebagai orang tengah bagi pembayaran habuan kepada pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Beliau berkata, ia susulan penahanan 34 pegawai kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi Op Samba 2.0 dan 11 pegawai di Pelabuhan Klang, Selangor yang ditahan menerusi operasi khas baru-baru ini.

Hasil siasatan setakat ini, SPRM berjaya merampas wang tunai sejumlah RM4.4 juta dipercayai diperoleh secara rasuah oleh pegawai-pegawai kastam terbabit.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat