Caprice Tiba Di Mesir Bantu Misi Kemanusiaan Untuk Palestin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Misi Kemanusiaan Untuk Palestin (HM4P) semakin mendapat sambutan ramai, termasuk penyertaan personaliti terkenal di media sosial.

Terbaharu, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, tiba di Mesir semalam untuk bergabung dengan 16 anggota misi HM4P yang diketuai Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BKUM), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

HM4P menerusi kenyataan menjelaskan misi bagi menyatakan solidariti kepada warga Palestin selepas terkesan dengan situasi perang dan konflik di Gaza itu turut disertai dua wakil Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY), termasuk EXCOnya, Norazam Ab Samah.

“Sebaik tiba di Kaherah semalam, Caprice terus menyertai sukarelawan misi HM4P memberikan bantuan kemanusiaan, termasuk pengagihan 10 kerusi roda yang disampaikan Abdul Azeez kepada wakil Hospital Palestin di Kaherah, kendalian Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir.

“Mereka juga melawat beberapa pesakit warga Palestin yang menerima rawatan lanjut di hospital berkenaan, termasuk seorang gadis bernama Mariam, berasal dari Gaza yang memerlukan bantuan alat pernafasan.

“Hospital Palestin di Kaherah menerima purata bulanan 10 pesakit warga Palestin dari Gaza yang mendapatkan rawatan lanjut ekoran kekangan perkhidmatan kesihatan di wilayah konflik terkepung itu,” katanya, hari ini.

Misi HM4P anjuran BKUM, selama dua minggu mula dilaksanakan pada 19 Jun lalu, bertujuan menyatakan solidariti rakyat Malaysia kepada warga Palestin, selain menyalurkan bantuan kemanusiaan dalam bentuk kewangan, bekalan makanan dan ubat-ubatan.

Siri bantuan berkenaan antara lain disalurkan secara terus kepada golongan memerlukan di Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, Tebing Barat dan warga Palestin terjejas di Gaza yang diserang tentera Israel bulan lalu.

Media sebelum ini melaporkan Mesir akan memudahkan laluan ke Gaza kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia melalui sempadan Rafah, hasil perbincangan antara Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Presiden Mesir, Abdel-Fattah al-Sisi, selain usaha digerakkan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dengan rakan sejawatannya di Mesir.

Serangan rejim Israel ke atas wilayah konflik Gaza yang berakhir dengan gencatan senjata pada 21 Mei lalu, menyaksikan kemusnahan harta benda ratusan juta dolar selain mengorbankan lebih 250 warga Palestin, termasuk 66 kanak-kanak.

Sebelum menyertai anggota misi HM4P di Mesir kelmarin, HM4P memaklumkan bahawa Abdul Azeez mengetuai misi ke Jordan dan menyampaikan sumbangan AS$200,000 (RM831,600) kepada Tabung Masjid Al-Aqsa yang dikendalikan Kementerian Awqaf Jordan.

Selain itu, beliau menyampaikan sumbangan 1,000 pek makanan kepada pelarian Palestin di empat kem pelarian di negara terbabit.

“Sumbangan digunakan untuk menyelenggara dan membaik pulih kerosakan di Masjid Al-Aqsa, termasuk membaiki tingkap, pintu dan sistem siar raya di masjid suci umat Islam itu yang dicemari insiden pencerobohan pihak berkuasa rejim zionis bulan lalu,” katanya. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat