Artis jadi sukarelawan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Atas kesedaran mahu membebaskan negara daripada pandemik COVID-19, penggiat seni termasuk pengarah drama dan pelakon sanggup membuang ‘topi’ glamor serta turun padang membantu kerajaan mengendalikan proses vaksinasi dan pengurusan COVID-19.

Kesempatan diambil artis terbabit untuk menyumbang keringat, apatah lagi, larangan penggambaran dikuatkuasakan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 selain tiada tawaran lakonan atau ‘job’ diterima.

Diam tak diam, sudah tiga minggu pengarah dan pelakon, Isma Aizal Yusoof, 39, bergelar sukarelawan di Klinik Kesihatan Serendah, Hulu Selangor.

Pada mulanya, pengarah kontroversi itu bercadang menghulurkan bantuan selama seminggu sahaja. Namun, simpati melihat kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak ‘menang tangan’ melakukan pelbagai tugas, Isma melanjutkan khidmatnya sehingga 2 Julai ini.

“Saya kasihan dengan petugas KKM di klinik itu. Mereka berkerja bertungkus-lumus kerana kekurangan tenaga kerja.

“Salah seorang rakan sekerja, Premas, misalnya, bukan sahaja menjadi pemandu ambulans, malah membantu saya mendaftarkan pesakit.

“Begitu juga pembantu perubatan. Mereka sepatutnya bertugas di bahagian kecemasan, namun, disebabkan kekurangan tenaga kerja, mereka terpaksa menjaga kaunter saringan COVID-19,” katanya.

Isma sedih sejak mula bertugas, tiada sukarelawan baharu mendaftar di klinik kesihatan berkenaan.

“Saya berharap sangat agar lebih ramai anggota masyarakat sudi menjadi sukarelawan. Bayangkan, jika ramai yang turut serta, sekurang-kurangnya dapatlah meringankan sedikit beban petugas KKM.

“Dapatlah mereka fokus kepada tugas hakiki masing-masing,” katanya kepada BH Online.

Isma berkata, pengurusan klinik kesihatan itu merayu agar dia melanjutkan khidmat sehingga Oktober depan.

 

Pengarah dan pelakon, Isma Aizal Yusoof bergelar sukarelawan di Klinik Kesihatan Serendah, Hulu Selangor sejak tiga minggu lalu.
Pengarah dan pelakon, Isma Aizal Yusoof bergelar sukarelawan di Klinik Kesihatan Serendah, Hulu Selangor sejak tiga minggu lalu.

 

Namun, Isma perlu bersikap realistik kerana perlu bekerja demi meneruskan kelangsungan hidup.

“Doktor di klinik itu meminta saya menyambung perkhidmatan hingga Oktober. Insya-Allah, selagi tiada penggambaran, saya akan teruskan. Tetapi jika dipanggil bekerja, saya terpaksa meninggalkan mereka.

“Saya perlu bekerja kerana sepanjang berkhidmat di sini, saya tidak diberi elaun atau bayaran pengangkutan. Namun, saya sanggup melakukan tugas ini kerana yakin ada sebab Allah meletakkan saya di klinik kesihatan ini,” katanya.

Isma merayu individu yang menepati kriteria diperlukan sebagai sukarelawan agar dapat menghulurkan bantuan kepada kerajaan.

“Kita sebenarnya sedang berperang. Persoalannya, kenapa apabila perang di negara sendiri ramai yang tidak ambil peduli?

“Tetapi ramai yang beriya-iya mahu mati syahid di Palestin? Adakah sebab mereka tidak nampak senjata dan bom, jadi mereka tidak sedar kita sebenarnya sedang berperang?” katanya.

Sementara itu, pelakon dan usahawan, Fizo Omar bertugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan vaksin, sejak seminggu lalu.

Fizo memberitahu, dia mendapat undangan rakannya yang bertugas sebagai doktor di PPV MIECC, The Mines selain atas kesedaran sendiri mahu menawarkan bantuan.

“Minggu ini, saya berada di PPV Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk berkongsi kebaikan vaksin kepada orang ramai.

“Saya juga memberi penerangan mengenai perjalanan mendapatkan vaksin di laman sosial bermula daripada proses pendaftaran sehingga selesai dicucuk.

“Ini dibuat agar orang ramai yang datang mendapatkan suntikan vaksin mendapat gambaran sebenar proses vaksinasi di PPV,” katanya.

 

Pelakon dan usahawan, Fizo Omar bertugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan vaksin, sejak seminggu lalu. - Foto IG Fizo Omar
Pelakon dan usahawan, Fizo Omar bertugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan vaksin, sejak seminggu lalu. – Foto IG Fizo Omar

 

Fizo turut menghasilkan video berkongsi pandangan doktor berhubung isu persepsi negatif segelintir masyarakat terhadap vaksin.

“Saya juga bercadang menghasilkan vlog mengenai vaksin supaya dapat membuka mata lebih ramai orang,” katanya.

Fizo berkata, khidmatnya di PPV dijadikan aktiviti mingguan kerana ketika ini tidak terikat dengan sebarang komitmen.

Bagi pelakon siri popular Juvana, Adam Shahz, menjadi sukarelawan bukanlah asing kerana menganggotai Angkatan Pertahanan Awam (APM) sejak fasa pertama PKP.

Adam kini ditugaskan di PPV untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan pengambilan vaksin.

“Tiada istilah sampai bila ingin bertugas sebagai sukarelawan. Bagi saya, selagi ada kudrat, saya akan terus menyumbang bakti kepada masyarakat biarpun tidak dijanjikan bayaran.

“Lagipun, tugas saya tidaklah berat. Saya hanya perlu berada di PPV apabila dikehendaki terutama pada hujung minggu.

“Apa yang saya buat ini adalah untuk kepuasan untuk diri sendiri. Saya puas dengan sumbangan yang diberi walaupun bukan dengan wang ringgit,” katanya.

Bagi pelakon muda, Aniq Suhair, 21, dia lebih suka memanfaatkan masa sepanjang PKP 3.0 dengan menjadi sukarelawan daripada duduk di rumah.

Pelakon Lelaki Lingkungan Cinta itu mula bertugas, Sabtu lalu, di Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Menurut Aniq, dia baru sedar peritnya terpaksa memakai pakaian pelindung diri (PPE) selama berjam-jam.

“Saya mahu melalui sendiri pengalaman petugas barisan harapan yang terpaksa memakai PPE selama berjam-jam. Mereka berhadapan dengan beratus-ratus pesakit COVID-19 setiap hari,” katanya.

 

Menjadi sukarelawan bukanlah asing buat pelakon Adam Shahz kerana menganggotai Angkatan Pertahanan Awam (APM) sejak fasa pertama PKP dan kini ditugaskan di PPV.
Menjadi sukarelawan bukanlah asing buat pelakon Adam Shahz kerana menganggotai Angkatan Pertahanan Awam (APM) sejak fasa pertama PKP dan kini ditugaskan di PPV.

 

Berkongsi pengalaman memohon sebagai anggota sukarelawan, Aniq berkata, dia perlu menghadiri taklimat dan latihan intensif.

“Bukan mudah untuk diterima sebagai sukarelawan. Saya perlu menghadiri taklimat dan latihan selama tiga hari yang dikendalikan doktor sebelum dibenarkan turun padang,” katanya.

Aniq ditugaskan untuk memeriksa tekanan darah, tahap oksigen dan denyutan nadi pesakit COVID-19.

“Tahap kesihatan pesakit pula dipantau doktor,” katanya.

Aniq bersyukur pendedahannya sebagai sukarelawan membolehkan banyak maklumat mengenai COVID-19 diperoleh selain mendengar pengalaman pesakit.

“Saya berpeluang berjumpa ramai orang dan dapat mendengar pelbagai kisah dan pengalaman mereka. Sedikit sebanyak ia membuka mata saya mengenai bahaya wabak itu,” katanya yang menyanjung tinggi pengorbanan petugas barisan harapan sejak COVID-19 melanda negara, tahun lalu.

Aniq yang merancang menjadi sukarelawan bagi tempoh sekurang-kurangnya seminggu bangga dapat mencurahkan bakti kepada negara dengan cara sendiri.

Dilaporkan seramai 80,000 individu mendaftar untuk menyertai inisiatif MyVac di seluruh negara sejak pendaftarannya dibuka ketika pemberian vaksin fasa pertama, Mac lalu.

Seramai 4,500 sukarelawan MyVac sudah ditempatkan di 332 PPV yang beroperasi dan ia akan meningkat selepas pembukaan lebih banyak PPV pada masa akan datang.

Kerajaan mengumumkan elaun atau sagu hati untuk sukarelawan kesihatan yang terbabit dalam proses vaksinasi dan pengurusan COVID-19 dinaikkan kepada RM100 sehari, mulai bulan ini.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat