HAWANA 2024: Wartawan barisan hadapan sejak sebelum merdeka – Fahmi

- Advertisement -

KUCHING: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata,  wartawan sudah berada di barisan hadapan sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan, dengan menggunakan pena menentang penjajahan serta menyemai semangat perjuangan.

Jelasnya, antara tokoh yang terbabit secara langsung dengan perjuangan terbabit ialah Tan Sri Abdul Samad Ismail yang juga antara pengasas Utusan Melayu.

Beliau berkata, Abdul Samad adalah tokoh kewartawanan yang memainkan peranan penting dalam gerakan menentang penjajah.

“Ditubuhkan pada 1939, Utusan Melayu menjadi wadah kepada pemimpin nasionalis menyuarakan tuntutan mereka untuk kemerdekaan.

“Justeru itu, 29 Mei telah diumum dan diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional (HAWANA). Tarikh berkenaan dipilih sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian pameran HAWANA 2024, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol: Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional (Bernama), Datuk Seri Wong Chun Wai: Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Nur-ul Afida Kamaludin serta Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj.

Sementara itu, Fahmi berkata, pada zaman digital kini, wartawan bukan sahaja perlu pandai mengolah atau menulis berita, mereka juga perlulah mempunyai kemahiran lain seperti mengambil gambar dan video serta menyuntingnya, bagi memenuhi kehendak pembaca.

Beliau berkata, selain itu, pengamal media kini perlu bersaing dengan orang biasa menerusi media sosial dari segi kepantasan dan pada masa sama, tidak mengabaikan integriti dan memastikan maklumat disampaikan sahih dan tepat.

“Kini terletak di bahu pengamal media sendiri sama ada mahu mengadaptasi perubahan ini, terutama dalam memastikan cabaran yang dihadapi akan dapat dilalui dengan lebih mudah tanpa perlu mengorbankan integriti dan prinsip kewartawanan itu sendiri,” katanya.

Pameran HAWANA 2024 berlangsung bermula hari ini hingga 27 Mei, menampilkan pameran menarik yang menggambarkan evolusi dan sejarah dunia kewartawanan di Malaysia, khususnya di Sarawak.

Sebanyak 17 agensi mempamerkan perkhidmatan masing-masing bagi memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan pelbagai maklumat selain menyertai aktiviti yang disediakan.

Antara agensi yang terbabit ialah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), TVS, Bernama, Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sarawak, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Sarawak, Jabatan Penerangan (JAPEN) Sarawak, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Sarawak Tourism Board (STB), Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) dan Uda Holdings Berhad.

Pelbagai program menarik diatur antaranya temu bual di konti, acara pentas serta peluang merasai sendiri pengalaman membaca berita secara profesional di reruai pameran UKAS.

Sebanyak 20 reruai pameran dibuka dari 10 pagi hingga 5 petang sepanjang tiga hari penganjuran. – BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat