CPTPP tingkat 25 peratus perdagangan dua hala Malaysia-Kanada

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Kanada telah berkongsi hubungan diplomatik selama hampir 66 tahun, dan melalui Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), perdagangan dua hala kedua-dua negara meningkat sebanyak 25 peratus.

Malaysia juga merupakan penyelaras bagi Kanada untuk Asean tahun ini, dan Malaysia akan menjadi Pengerusi Asean pada 2025.

Menteri Penggalakan Eksport, Perdagangan Antarabangsa dan Pembangunan Ekonomi Kanada Mary Ng berkata adalah sesuatu yang menggembirakan untuk melihat beberapa angka dalam perkembangan itu.

“Saya telah melihat (nombor-nombor perdagangan dua hala) sejak 2018. Semasa CPTPP, kami telah melihat peningkatan dalam perdagangan sebanyak 25 peratus. Malaysia adalah sahabat dan rakan dagang penting Kanada,” katanya pada pelancaran Misi Perdagangan Pasukan Kanada (TCTM) di sini hari ini.

“Jika anda melihat minat syarikat-syarikat yang ada di sini hari ini, kami sedang berusaha untuk meningkatkannya lagi,” katanya yang mengetuai pasukan Kanada dalam lawatan dari 24-26 Mac sebagai sebahagian daripada strategi Indo-Pasifik Kanada.

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, yang hadir pada pelancaran itu berkata beliau berbincang dengan Ng mengenai hubungan pelaburan dan perdagangan.

“Kami mengadakan perbincangan yang baik mengenai banyak perkara dengan kehadiran rakan-rakan sejawatan dari Malaysia dan agensi-agensi kementerian. Kami mahu melihat Kanada menjadi rakan perdagangan dan pelaburan yang lebih besar kepada Malaysia.

“Kita telah melihat peningkatan besar dalam perdagangan di antara kedua-dua negara, tetapi masih banyak boleh dilakukan dalam halal (Industri), tenaga boleh diperbaharui (sektor), terutamanya dalam bidang hidrogen, penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS), dan sektor-sektor lain,” katanya.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata mereka turut membincangkan CPTPP dan mengucapkan tahniah kepada Kanada sebagai Pengerusi CPTPP tahun ini.

Beliau berkata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), bersama-sama kementerian dan agensi-agensi lain, amat berbesar hati untuk memudahkan kepentingan perniagaan sedia ada Kanada di sini.

”Petronas, syarikat-syarikat hartanah dan pelbagai syarikat lain telah melabur di Kanada. Kami mahu memastikan hubungan dua hala ini dapat diperkukuhkan lagi,” tambahnya.

Malaysia ialah destinasi Asean pertama dalam misi perdagangan itu di atas beberapa sebab, antaranya potensi perdagangan dan pelaburan yang semakin meningkat di bawah CPTPP dan perjanjian perdagangan bebas Kanada-Asean pada masa hadapan.

Delegasi TCTM terdiri daripada lebih 140 organisasi dengan lebih 250 individu merentas sektor yang terdiri terutamanya perusahaan kecil dan sederhana. Mesyuarat perniagaan ke perniagaan turut dianjurkan semasa lawatan berlangsung.

Ng akan turut menyertai perbincangan panel tentang memperkasakan usahawan wanita di Universiti Sunway dan akan menghadiri pembukaan besar-besar BlackBerry’s Cybersecurity Centre of Excellence untuk memperdalam perkongsian keselamatan siber Kanada di Indo-Pasifik. Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil juga akan hadir.

Eksport utama Kanada ke Malaysia ialah potash, bahan utama dalam baja yang menjana industri minyak sawit manakala Kanada mengimport produk elektrik dan elektronik dengan kuantiti yang besar. Kanada juga mengeksport gandum, kacang soya dan komoditi pertanian lain.

CPTPP berkuat kuasa di Malaysia pada November 2022. Dalam tempoh 15 bulan yang lalu, terdapat penerimaan yang menggalakkan terhadap pengeluaran Sijil Asal (CO) oleh perniagaan Malaysia untuk eksport kepada rakan kongsi CPTPP, termasuk Kanada. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat