Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Ahmad Radhi Maarof telah dilantik sebagai Ketua Pengarah APAD yang baharu berkuat kuasa mulai 24 Feb 2026.
APAD dalam kenyataannya berkata pelantikan ini adalah selaras dengan komitmen berterusan kerajaan untuk memperkukuh tadbir urus, memastikan kesinambungan kepimpinan organisasi serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan pengangkutan awam darat negara.
Ahmad Radhi, 53, mempunyai pengalaman luas lebih 25 tahun dalam bidang perancangan bandar dan pengangkutan, serta transformasi sistem pengangkutan awam darat, pembangunan dasar, dan pengurusan strategik di peringkat nasional.
“Kerjaya beliau bermula sebagai Perunding Perancang Bandar melibatkan penyediaan kajian Rancangan Struktur Negeri dan Rancangan Tempatan Daerah (1999–2012) sebelum menyertai Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada tahun
2012.
“Sepanjang tempoh di SPAD dan seterusnya di APAD, beliau telah terlibat secara langsung dalam penyediaan Rancangan Induk Pengangkutan Awam Darat, pelaksanaan Program Transformasi Bas Berhenti-Henti (SBST) di sembilan lokasi ibu negeri, serta pemantauan projek keretapi dan teknologi bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam darat.
“Selepas penubuhan APAD pada tahun 2019, beliau dilantik sebagai Pengarah Bahagian Perancangan Polisi Mod Jalan sebelum ditukar lantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) mulai 10 Feb tahun lalu,”kata kenyataan itu pada Selasa.
“Sepanjang tempoh tersebut, Ahmad Radhi turut melaksanakan fungsi operasi semasa kekosongan jawatan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), sekali gus memperkukuh pemahaman menyeluruh beliau terhadap aspek perancangan strategik dan juga pelaksanaan operasi pengangkutan awam darat.
“Ahmad Radhi juga merupakan calon yang dikenal pasti dalam Pelan Penggantian (Succession Plan) APAD selaras dengan dasar pembangunan bakat perkhidmatan awam.
“Sepanjang perkhidmatan, beliau merupakan penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) pada 2019 serta aktif mewakili Malaysia di pelbagai forum antarabangsa berkaitan mobiliti bandar dan pengangkutan awam di peringkat Asia dan global.
“Antaranya, wakil Malaysia ke Urban Mobility Innovation Index Forum, LA CoMotion Global (Los Angeles, 2017), dan penceramah pleno Transport Infrastructure and Integration Conference (Singapura, 2017).
“Pelantikan beliau sebagai Ketua Pengarah diyakini dapat memastikan kesinambungan dasar, kestabilan organisasi serta kelangsungan agenda transformasi pengangkutan awam darat negara.
“Dengan kepimpinan, pengalaman luas dan kepakaran teknikal yang dimiliki, beliau diyakini mampu menerajui APAD ke arah memperkasakan sistem pengangkutan awam darat yang lebih efisien, bersepadu, mampan dan berfokuskan rakyat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
“APAD juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kepimpinan terdahulu atas segala sumbangan dan khidmat bakti yang telah dicurahkan kepada agensi dan negara, ”tambah kenyataan itu lagi. – SUARA.TV



