Tun Faisal dinasihat ‘puasa’ keluar kenyataan, jawatan Ketua Pembangkang boleh bincang – Syahir

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dinasihatkan untuk ‘berpuasa’ daripada mengeluarkan kenyataan yang bersifat serangan terbuka.

Ahli Parlimen Bachok Syahir Sulaiman mengingatkan bahawa semua perkara boleh dibincang mengikut saluran dalaman.

“Saranan saya kepada Ketua Penerangan Bersatu – Ada baiknya kita ‘berpuasa’ dari mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan.

“Hal dalaman, ikut saluran dalaman, bukan serangan terbuka.

“Tugasan kami di Parlimen amat banyak. Isu perjanjian tarif (ART), laporan audit, bajet tambahan, RUU Peguam Negara, RUU tempoh dua penggal PM, isu SPRM, isu Azam Baki, isu ekonomi, isu pendidikan, mafia korporat, dan pelbagai isu nasional.

“Melihat kepada apa yang ada di atas meja, maka hal-hal yang melibatkan berebut jawatan dan kerusi, tidak menjadi keutamaan kami,” ujar Syahir dalam hantaran di Facebook beliau pada Rabu.

Menurutnya, adalah lebih baik Penerangan Bersatu tumpu isu rakyat, perkemas jentera media sosial (bukan ceplos), serang PH/Madani; bukan serang kawan sendiri.

“Berbalik kepada kedudukan di Parlimen, kita serahkan kepada pucuk pimpinan.

“Pengerusi PN yang baharu pun belum sempat panaskan kerusi. Let the dust settle first.

“Selain itu, pandangan sekalian ahli parlimen di blok pembangkang juga perlu diambil kira, sebagaimana diperuntukkan dalam Peraturan Mesyuarat 4A(3),” katanya.

Syahir yang setiausaha politik kepada Presiden Pas memberitahu, untuk makluman, semalam Tan Sri Muhyiddin Yassin telah hubungi dan bercakap telefon dengan Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung kedudukan Ketua Pembangkang.

“Ini teladan yang baik. Kita bincang elok-elok. Difahamkan Hadi jawab, beliau tidak boleh buat keputusan sendiri, dan akan bawa perkara ini untuk diputuskan dalam mesyuarat terdekat, Insya-Allah.

“Sebagai resiprokal, kami pun tidak pernah membuat sebarang desakan supaya kedudukan kerusi Pengerusi PN – baharu dan dahulu – ditukar tempat. Molek doh situ.

“Tambahan pula, sidang Dewan Rakyat berbaki empat (4) hari sahaja lagi. Tumpuan kami kepada perbahasan; isu rakyat, isu nasional.

“Melainkan jika Bersatu inginkan jawatan Ketua Pembangkang atau Ketua Whip, itupun kita boleh bincang, tiada masalah. Kita bincang molek, ambil kira pandangan ahli Parlimen dan pendirian parti; bukan serang secara terbuka.

“Selebihnya, let the numbers speak for themselves,” tegur Syahir.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat