HER Journey Perkasa Remaja Perempuan Hadapi Cabaran Kehidupan

KUALA LUMPUR, – Seramai 100 remaja perempuan menyertai Program YKN Kasih Ramadan: HER Journey yang berlangsung semalam di Hotel Ideas Kuala Lumpur sebagai platform intervensi sosial berfokus dalam memperkasa golongan yang memerlukan perlindungan dan jagaan.

Program yang dirasmikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Pengerusi Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Nancy Shukri itu menghimpunkan peserta berusia antara 15 hingga 19 tahun terdiri daripada anak yatim dan piatu, mangsa penderaan atau pengabaian serta remaja di bawah Perintah Mahkamah mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

Nancy berkata, remaja dalam kumpulan berisiko berada dalam fasa kritikal pembentukan jati diri yang memerlukan sokongan berterusan, keyakinan diri serta kestabilan emosi.

“Dalam kita menikmati Ramadan bersama keluarga, masih terdapat remaja perempuan yang sedang melalui tempoh kehidupan yang mencabar. Mereka memerlukan bimbingan dan peluang untuk membina semula kekuatan diri serta melangkah ke hadapan dengan lebih yakin,” katanya ketika merasmikan program berkenaan di Hotel Ideas Kuala Lumpur, semalam.

Menurut beliau, program tersebut dirangka sebagai satu perjalanan membina jati diri, harapan dan kekuatan dalaman dalam kalangan peserta agar mereka mampu bangkit sebagai individu yang berdaya tahan dan bermaruah.

Sepanjang program, peserta mengikuti pelbagai pengisian termasuk sesi perkongsian oleh SAC Puan Siti Kamsiah Hassan dari Bahagian D11 (Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak), Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memberi pendedahan berkaitan keselamatan diri dan kesedaran risiko jenayah seksual.

Turut diadakan slot “Journey of Hope” menampilkan selebriti Wan Sharmila dan penceramah bebas Ustazah Muzayannah, dengan sesi dikendalikan moderator jemputan Lin Ariffin dari Zayan FM yang mewujudkan suasana interaktif dan terbuka.

Pelaksanaan program ini disokong oleh Alliance Islamic Bank dan Kop Mantap Berhad sebagai rakan strategik, manakala Rockqueen, Dutch Lady, Gardenia, SLAE dan Nabeylla turut menyumbang dalam bentuk produk dan barangan.

Nancy berharap program berkenaan menjadi titik permulaan kepada perubahan positif dalam kehidupan peserta, seterusnya membantu melahirkan generasi wanita yang kuat, berdaya tahan dan berintegriti.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat