Cyberjaya – Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Tun Faisal Ismail Aziz, tampil menjelaskan bahawa Menteri Besar (MB) Perlis tidak pernah mencampuri urusan dalaman PAS seperti didakwa, sebaliknya cadangan yang dibangkitkan adalah berkaitan pentadbiran negeri dan kebajikan rakyat.
Beliau yang mendakwa hadir sebagai saksi dalam pertemuan pemimpin BERSATU dan PAS di kediaman Mursyidul Am PAS berkata, tiada kenyataan daripada MB Perlis yang menyentuh hal ehwal disiplin atau keahlian parti PAS.
Menurutnya, cadangan MB dibuat susulan isu pengumuman kekosongan tiga kerusi DUN oleh Speaker DUN Perlis, yang menyebabkan kedudukan tiga ADUN terbabit tergantung sementara menunggu keputusan mahkamah selepas tindakan saman difailkan.
Tun Faisal menjelaskan, tujuan utama cadangan tersebut adalah memastikan kestabilan politik negeri dan kebajikan rakyat di kawasan terlibat tidak terjejas.
Antara cadangan yang dikemukakan, katanya, ialah supaya ketiga-tiga ADUN berkenaan diterima semula sebagai wakil rakyat walaupun berstatus ADUN Bebas kerana mereka masih mempunyai mandat rakyat untuk berkhidmat di kawasan masing-masing. Beliau menegaskan, perkara berkaitan tindakan disiplin PAS terhadap ahli adalah urusan parti itu sendiri.
Selain itu, pendekatan penyelesaian secara “menang-menang” turut dicadangkan melalui perbincangan secara kekeluargaan, termasuk kemungkinan ketiga-tiga ADUN menarik balik saman terhadap Speaker dan Speaker menarik semula keputusan kekosongan kerusi.
Sekiranya penyelesaian tersebut gagal dicapai, MB Perlis dicadangkan menubuhkan Pusat Khidmat Menteri Besar di tiga DUN berkenaan bagi memastikan bantuan dan urusan kebajikan rakyat terus disalurkan.
Tun Faisal turut mengingatkan semua pihak supaya mengamalkan prinsip tabayyun, menyemak dan mendapatkan maklumat tepat sebelum membuat tuduhan yang boleh menimbulkan fitnah.



