IPT Harus Lebih Agresif Lahirkan Graduan Berkualiti Untuk Capai Negara Berpendapatan Tinggi

KUALA LUMPUR – Bagi menjadikan Malaysia sebuah negara yang berdaya saing dan berpendapatan tinggi, institut pengajian tinggi (IPT) negara memainkan peranan yang lebih agresif dalam menghasilkan graduan yang berkualiti tinggi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, dalam tempoh 18 tahun dari 2002 hingga 2020, bilangan keluaran tahunan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) telah bertambah sebanyak 15 peratus iaitu daripada 221,000 kepada 255,000.

“IPT telah berjaya menghasilkan graduan untuk memenuhi pelbagai permintaan atau keperluan bakat oleh industri yang banyak menyumbang kepada pembangunan negara.

“Kita bersyukur kerana kualiti pendidikan tinggi di negara kita juga bertambah baik. Sebuah IPTA berjaya menduduki 100 tangga teratas dalam penarafan QS World University Rankings pada tahun 2022 manakala empat IPTA yang lain berada dalam kalangan 200 universiti teratas di dunia termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang berada di tangga 144.

“Walau bagaimanapun, kita perlu tingkatkan lagi usaha bagi mengeluarkan graduan bertaraf dunia yang mampu bersaing dengan graduan-graduan daripada universiti ternama di seluruh dunia,” katanya Majlis Pelancaran Buku dan Logo Baharu UKM-GSB 2022 pada Selasa.

Mustapa menegaskan, pelaburan dalam penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I) amat penting untuk menyokong pertumbuhan negara.

“Pada masa ini, terdapat 44 buah agensi di bawah sepuluh Kementerian yang melaksanakan pelbagai inisiatif berkaitan dengan bidang seperti bioteknologi, teknologi maklumat, pertanian dan lain-lain. Walau bagaimanapun, pelaksanaan dan pemantauan aktiviti-aktiviti R&D&C&I ini adalah berdasarkan keutamaan masing-masing tanpa penyelarasan dari aspek penggunaan sumber, sasaran dan mekanisme pemantauan.

“Pemantapan mekanisme kolaborasi diperlukan untuk memantapkan sinergi dalam kalangan penyelidik, pemain industri dan pihak-pihak lain yang
berkepentingan,” ujarnya.

Bagi mencapai hasrat ini Mustapa memberitahu, Unit Pengurusan Penyelidikan (RMU) telah diwujudkan di Unit Perancangan Ekonomi berkuat kuasa pada Ogos 2020 untuk menyelaras bidang keutamaan R&D&C&I negara untuk mencapai 50 peratus penyelidikan pembangunan eksperimental menjelang 2025.

” Sehubungan itu, RMU akan tingkatkan libat urus institusi pengajian tinggi awam (IPTA), institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan industri.

“Pada tahun 2018, perbelanjaan kasar R&D negara adalah sebanyak RM15 bilion atau 1.04 peratus kepada KDNK. peratusan ini adalah jauh lebih rendah
berbanding dengan negara-negara maju iaitu di sekitar 3 peratus,” umum beliau

Katanya, dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kerajaan menyasarkan perbelanjaan kasar R&D meningkat kepada 2.5 peratus kepada KDNK menjelang 2025. Sebanyak 70 peratus dijangka disumbang daripada sektor swasta dan selebihnya (30 peratus) daripada sektor awam.

“Ini akan menyokong hasrat kerajaan untuk meletakkan Malaysia di kedudukan 20 teratas dalam Global Innovation Index,” katanya.

Mustapa menjelaskan buku-buku hasil nukilan para akademik GSB menyentuh pelbagai kepakaran, termasuk pengurusan sumber manusia, pengurusan pemasaran, serta pengurusan kewangan.

Kata beliau, penghasilan buku-buku ilmiah boleh dijadikan sebagai sumber rujukan kepada ahli akademik dan juga kumpulan profesional dan pentadbiran.

“Zuhud kerjasama strategik UKM-GSB dengan lima bank iaitu Malayan Banking Berhad; Affin Bank Berhad; Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat); Bank Muamalat Malaysia Berhad; dan Alliance Bank Malaysia Berhad.

“Kerjasama ini bertujuan untuk menyediakan pembiayaan kepada pelajar yang ingin menyambung pengajian di UKM-GSB. Usaha ini dapat membuka lebih banyak peluang kepada semua untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” ujar beliau lagi.