DARAU – Calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN N.16 Darau, Arfanshah Abdul Gafar, yakin peluangnya cerah dalam saingan lima penjuru, sambil menegaskan bahawa beliau membawa pendekatan politik baharu yang lebih dekat dengan rakyat, terutama generasi muda yang membentuk majoriti pengundi kawasan itu.
Dalam wawancara bersama Suara TV, Arfanshah berkata pelantikannya sebagai calon muda adalah tanggungjawab besar dan bukti kesediaan BN memberi ruang kepada wajah baharu bagi memenuhi kehendak demografi pengundi Darau.
“Sudah tentu saya sangat gembira dan menganggap ini satu amanah yang cukup besar. Dalam BN, bukan mudah untuk anak muda diketengahkan kerana parti kita sangat menitikberatkan pengalaman dan senioriti. Tetapi melihat kepada demografi Darau yang mana 60 hingga 65 peratus adalah pengundi muda, BN mengambil langkah yang berani untuk tampilkan calon generasi baharu.
“Ini bukan sekadar keputusan politik, tetapi keputusan berdasarkan realiti dan keperluan semasa. Anak muda mahu perubahan, mereka mahu suara yang dekat dengan mereka, dan saya mahu buktikan bahawa orang muda juga mampu membawa tanggungjawab besar dalam politik,” katanya.
Arfanshah menegaskan bahawa BN memasuki persaingan kali ini dengan keyakinan, bukan sekadar mencuba nasib.
“Kami bukan masuk gelanggang untuk cuba nasib. Kami masuk untuk menang. Jika dilihat pada PRU lalu, Parlimen Karamunting menunjukkan perubahan undi yang besar kepada BN. Itu memberi gambaran jelas bahawa gelombang sokongan kepada BN masih kukuh di kawasan ini.
“Jadi keyakinan itu ada, tetapi dalam masa sama kami sedar ia tidak datang dengan mudah. Kami perlu kerja keras dan pastikan setiap janji serta tawaran kami adalah realistik dan mampu dilaksanakan,” ujarnya.
Arfanshah berkata isu pengangguran yang tinggi di Sabah, termasuk di Darau, menjadi keutamaan dalam rangka tawaran beliau.
“Masalah utama di Sabah termasuk Darau ialah pengangguran. Kita lihat lebih 300,000 rakyat Sabah menganggur, dan Darau turut menyumbang kepada angka itu. Saya lihat ini bukan isu kecil, ini isu masa depan anak muda.
“Fokus saya jelas memastikan lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan, memperkasa TVET sebagai laluan masa depan, membuka ruang latihan kemahiran secara lebih meluas serta membantu anak muda memperoleh pendapatan yang lebih kompetitif.
“Kita tidak boleh biarkan anak muda terus terperangkap dalam gaji rendah dan peluang kerja yang terhad. Ini soal masa depan mereka, dan saya mahu Darau menjadi kawasan yang mampu mencipta peluang baharu untuk generasi baharu,” jelasnya.
Mengulas strategi kempen, Arfanshah menegaskan ceramah besar tidak lagi relevan untuk mendekati pengundi muda.
“Sebab ceramah kempen tidak lagi relevan. Kalau kita harap ceramah besar untuk yakinkan pengundi muda, mereka memang tak datang. Mereka bukan jenis duduk bawah khemah tiga jam untuk dengar orang politik bercakap.
“Jadi pendekatan saya ialah rumah ke rumah. Saya turun ke setiap lokaliti, jumpa pengundi satu persatu, dengar masalah mereka secara terus. Anak muda berusia 18 hingga 25 tahun ini ramai yang tidak berparti. Mereka tidak kenal saya dan tidak kenal calon lain.
“Kalau orang tidak kenal kita, bagaimana mereka mahu undi kita? Sebab itu saya gunakan tenaga orang muda turun padang tanpa henti. Kami mahu pastikan setiap pengundi Darau tahu siapa calon BN dan apa yang kami tawarkan,” katanya.
Ditanya mengenai persaingan calon berpengaruh lain, Arfanshah berkata kekuatan BN tetap utuh berdasarkan kemampuan parti mentadbir dan menyalurkan bantuan secara konsisten.
“BN bukan parti kecil. Kami ada rangka kerja, ada jaringan, ada pengalaman mentadbir. Walaupun dua tahun ini BN berada di blok pembangkang di Sabah, kami masih kerajaan di pusat, dan dalam kedudukan itu kami tetap menyalurkan bantuan ke Darau rumah PPRT, keperluan asas, sokongan kebajikan dan apa sahaja yang boleh membantu rakyat.
“Pengundi Darau sendiri beritahu saya, mereka mahu berada bersama kerajaan untuk mudahkan pembangunan. Mereka mahu kawasan ini bergerak ke hadapan, dan memerlukan parti yang ada kemampuan, bukan sekadar retorik,” katanya.
Jika diberikan mandat, Arfanshah menegaskan fokus awal beliau adalah memastikan ekonomi anak muda Darau lebih kukuh.
“Keutamaan saya ialah ekonomi anak muda, kerana jika pendapatan mereka tidak meningkat, Darau tidak akan mampu bergerak ke hadapan.
“Selain itu, isu asas seperti jalan, air dan pembangunan kampung tetap menjadi perhatian utama. Darau mungkin tidak besar, tetapi potensinya sangat besar.
“Apa yang kita perlukan hanyalah wakil rakyat yang bekerja setiap hari, bukan hanya ketika musim kempen. Itu komitmen saya kepada pengundi Darau,” ujarnya.
Untuk rekod, Arfanshah calon BN bagi DUN N.16 Darau yang memasuki saingan enam penjuru dalam PRN Sabah ke-17 merupakan salah satu wajah baharu yang diketengahkan parti.
Ketua Pemuda UMNO Sepanggar itu dipilih selaras komitmen BN menawarkan 80 peratus calon baharu, dengan tumpuan khusus menarik sokongan pengundi muda yang membentuk majoriti di Darau.
Kerusi Darau yang sebelum ini dimenangi Warisan kini menjadi rebutan sengit, termasuk daripada calon GRS, Datuk Bob, menjadikan persaingan lebih kompetitif.



