KOTA KINABALU: Calon Perikatan Nasional (PN) bagi DUN N13 Pantai Dalit, Mohd Zulkernain Osman, menegaskan beliau tidak menjadikan isu air dan jalan sebagai modal utama kempen kerana rakyat di kawasan itu sudah sedia maklum dengan masalah berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika tampil dalam podcast Suara TV sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, bagi membentangkan visi dan hala tuju beliau sekiranya diberi peluang mewakili rakyat Pantai Dalit.
Sebaliknya, Zulkernain memilih untuk memberi tumpuan kepada golongan pelajar cemerlang yang tidak dapat melanjutkan pelajaran akibat kekangan kewangan keluarga.
“Di Pantai Dalit ramai pelajar itu bijak, tapi mereka terpaksa berhenti awal sebab masalah ekonomi. Ini yang saya mahu bantu,” katanya.
Menurut beliau, hampir 60 peratus penduduk Pantai Dalit terdiri daripada golongan muda, justeru isu pendidikan dan pembangunan kemahiran belia menjadi keutamaan dalam pendekatan beliau.
Beliau turut menyasarkan bantuan kepada pelajar tercicir SPM serta menggalakkan mereka menyambung pelajaran di institusi latihan kemahiran seperti ILP, IKM, GIATMARA dan Politeknik yang terletak berhampiran kawasan itu.
Mengulas sentimen “Sabah for Sabahan”, Zulkernain berkata isu itu tidak begitu kuat di Pantai Dalit kerana penduduk lebih menilai calon berdasarkan usaha, pendekatan dan keupayaan menyelesaikan masalah setempat.
Pada masa sama, beliau memaklumkan kempen kini dijalankan secara rumah ke rumah dari Subuh hingga Isyak, dan setakat ini sambutan masyarakat terhadapnya adalah positif.



