TLDM dan Nelayan Malaysia Selamatkan Empat Nelayan Indonesia di Perairan Selat Melaka

- Advertisement -

Oleh Zihan Zari

LUMUT – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya menyelamatkan empat nelayan dari Tanjung Balai, Indonesia, selepas bot mereka karam akibat dilanggar sebuah kapal dagang ketika menangkap ikan di perairan Indonesia.

Menerusi kenyataan Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada Barat TLDM memaklumkan, mangsa yang hanyut beberapa hari di laut ditemui oleh bot nelayan tempatan berhampiran perairan Pulau Jarak pada jam 1.40 petang Rabu.

Menurutnya, nelayan tersebut seterusnya telah dibawa ke Pulau Jarak oleh bot nelayan tempatan sebelum diserahkan kepada Stesen Jarak TLDM untuk menerima rawatan awal.

Menurutnya lagi, Kapal Diraja (KD) Mahamiru yang sedang melaksanakan Operasi Patroli Terkoordinasi Malaysia-Indonesia Siri 166 2024 (Op Patkor Malindo 166/24), telah ditugaskan untuk memindahkan mangsa dari Stesen Jarak ke Kapal Republik Indonesia (KRI) Torani, yang berada kira-kira 40 batu nautika, barat laut Pulau Jarak.

“Penyerahan nelayan-nelayan tersebut kepada KRI Torani berjaya dilaksanakan di sempadan perairan pada jam 12.40 tengah malam itu turut melibatkan KD Laksamana Muhammad Amin dan KRI Bubara.

“Usaha menyelamat mangsa ini membuktikan objektif operasi tercapai dan memberi keyakinan kepada komuniti maritim dan pelaksanaan operasi ini bersama pihak Indonesia telah memudahkan penghantaran mangsa dengan berkesan, ”katanya.

“Kejayaan ini mencerminkan hubungan erat serta semangat sepakat yang dipersetujui oleh pemimpin tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentara Nasional Indonesia (TNI), khususnya antara TLDM dan TNI-AL.

“Hubungan strategik ini merupakan komitmen kedua-dua negara terhadap keselamatan perairan Selat Melaka, sekaligus memperkukuhkan kestabilan maritim di rantau ini, ”kata kenyataan itu lagi.-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat