KUALA LUMPUR – Usul tergempar yang dikemukakan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal supaya Dewan Rakyat meluluskan resolusi agar kerajaan Malaysia membawa usul mengecam Israel dan Benjamin Netanyahu sebagai Penjenayah Perang sekali gus mendakwa mereka di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) melalui saluran Majlis Keselamatan PBB telah ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat
Pun begitu, Ketua Armada Bersatu itu akan cuba merayu sekali lagi agar Malaysia dapat berdiri sama tegas dan bermaruah seperti Sepanyol, Columbia dan Ireland yang telah membawa hal yang sama melalui institusi legislatif mereka.
Dalam surat balasan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul bertarikh 23 Oktober 2023.
Johari menyatakan Peraturan Mesyuarat 18 Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (PPMMDR) telah memperuntukkan kehendak yang perlu dipenuhi bagi membolehkan usul yang dikemukakan di bawah Peraturan Mesyuarat 18 PPMMDR ini diterima.
“Isu mengenai konflik Israel – Palestin ini telah dijelaskan oleh Perdana Menteri semasa sesi Penerangan Menteri pada 16 Oktober 2023, dan oleh Timbalan Perdana Menteri semasa sesi Penerangan Menteri pada 9 Oktober 2023.
“Dalam pada itu, Yang Berhormat masih boleh membangkitkan perkara in semasa sesi perbahasan Belanjawan 2024,” ujarnya.
Justeru tegas Johari, selaras dengan Peraturan Mesyuarat 18(2) dan 18(7)(b), beliau menolak usul Wan Ahmad Fayhsal dalam kamar.