Menteri KDN wajar nyatakan secara terbuka sama ada beliau atau kerajaan arah, pengaruhi RoS – Pejuang

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mesti menyatakan secara terbuka sama ada beliau atau mana-mana pihak dalam kerajaan pernah mengarahkan atau mempengaruhi tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) terhadap Perikatan Nasional (PN).

Hal ini kerana, menteri bertanggungjawab memastikan agensi di bawah kementeriannya bertindak secara bebas, lebih-lebih lagi apabila keputusan agensi itu membawa kesan langsung kepada persaingan politik negara.

Justeru, Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) menuntut RoS memperincikan pelanggaran yang didakwa, menjelaskan keperluan menggantung semua kegiatan PN, dan menarik balik penggantungan itu sementara penjelasan PN dipertimbangkan secara adil.

“Pejuang telah meneliti Perintah Penggantungan bertarikh 23 September 2026 yang dikeluarkan oleh RoS terhadap PN serta siaran media RoS bertarikh 24 September 2026 berhubung tindakannya terhadap PN.

“RoS kini mengesahkan bahawa notis bertarikh 22 September dikeluarkan bagi mendapatkan penjelasan PN terhadap aduan Bersatu. RoS juga mengesahkan bahawa notis itu belum membatalkan pendaftaran PN. Namun, sehari kemudian, RoS telah mengambil langkah untuk menggantung semua kegiatan PN atas alasan untuk mengelakkan gabungan itu daripada “terus melanggar” aturan pertubuhannya.

“Pejuang, sebagai salah satu parti komponen PN, menuntut jawapan yang jelas: aturan yang mana dikatakan sedang dilanggar? Apakah perbuatan yang masih berterusan? Mengapa aduan yang sedang menunggu jawapan PN memerlukan semua kegiatan gabungan dihentikan serta-merta?

“Siaran media RoS tidak menjawab soalan-soalan itu. RoS meminta orang ramai mengelakkan spekulasi. Maka RoS sendirilah yang mesti menghapuskan ruang untuk spekulasi dengan menyatakan alasan khusus bagi tindakan yang begitu menyeluruh,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut Pejuang, rakyat tidak berspekulasi apabila mereka mempersoalkan penggunaan kuasa yang menjejaskan sebuah gabungan pembangkang.

“Mereka menuntut akauntabiliti.

“Pejuang tidak mempertikaikan hak mana-mana pihak untuk membuat aduan atau kuasa RoS untuk menyiasatnya.

“Namun, aduan bukan keputusan bersalah. RoS perlu menjelaskan mengapa tindakan terhadap seluruh PN diperlukan ketika penjelasan yang dimintanya sendiri belum dinilai.

“Kesan perintah ini turut menimpa parti-parti komponen. RoS perlu menjelaskan bagaimana kepentingan semua parti komponen diambil kira sebelum keputusan tersebut dibuat,” katanya.

Sementara, Pejuang juga menyokong dan akan terlibat dalam tindakan undang-undang yang wajar untuk mencabar perintah penggantungan atau mana-mana perintah lanjutan dari RoS berkenaan perkara ini.

“RoS sudah menjelaskan bahawa PN belum dibatalkan pendaftarannya. Kini RoS mesti menjelaskan mengapa PN perlu dilumpuhkan sebelum proses itu selesai. Jika tindakan ini benar-benar berasaskan undang-undang dan bukti, bentangkan alasannya. Jangan minta rakyat percaya begitu sahaja ketika hak sebuah gabungan pembangkang sedang disekat.

“Tindakan ini berlaku hanya apabila kemaraan PN mula menerima sokongan majoriti rakyat dan sebaliknya bagi Pakatan Harapan (PH) yang sedang merosot dari segi prestasi pentadbiran bahkan sokongan rakyat semakin menipis bagi PH.

“Secara dengan tiba-tiba sehari selepas diumum pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka digantung pula PN yang dijangka meraih sokongan padu rakyat dan pengundi di Melaka.Terlalu banyak persoalan yang timbul akibat tindakan RoS disini yang perlu dijawab,” gesa Pejuang lagi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat