HONOR X9e Pro lancar di Malaysia, bawa kuasa bateri 11,000mAh dan ketahanan ekstrem 

KUALA LUMPUR, 24 September 2026 – HONOR hari ini secara rasmi melancarkan HONOR X9e Pro di Malaysia, membawa nafas baharu kepada Siri X menerusi gabungan ketahanan ekstrem, bateri berkapasiti besar, paparan terang, keupayaan fotografi serta ciri kecerdasan buatan (AI) yang semakin dekat dengan keperluan pengguna seharian.

Ditawarkan pada harga bermula RM1,899, HONOR X9e Pro hadir ketika Siri X terus mencatat perkembangan positif dalam pasaran tempatan. Model baru ini membawa lima pencapaian No.1 yang menjadi antara fokus utama pelancaran, merangkumi ketahanan, rintangan air, kapasiti bateri, paparan dan pelan perlindungan peranti.

Pelancaran itu turut berlangsung ketika Siri X menerima pengiktirafan Asia Records sebagai “Siri Telefon Pintar Kelas Pertengahan Terlaris Selama Tiga Tahun Berturut-turut”, hasil sumbangan generasi terdahulu termasuk HONOR X9a, X9b, X9c dan X9d.

Menurut HONOR, perjalanan Siri X di Malaysia sepanjang beberapa generasi telah menyaksikan siri berkenaan meningkatkan penanda aras dalam segmen telefon pintar kelas pertengahan, termasuk mencatat penguasaan pasaran tertinggi sehingga 77 peratus.

Dengan pencapaian tersebut sebagai latar belakang, HONOR X9e Pro diperkenalkan bukan sekadar sebagai pengganti kepada model sebelumnya, tetapi sebagai usaha untuk membawa Siri X ke tahap yang lebih tinggi melalui peningkatan yang menyentuh aspek penggunaan harian.

Ketahanan menjadi identiti utama

Antara perkara paling diberi perhatian pada HONOR X9e Pro ialah ketahanannya. HONOR memperkenalkan teknologi Ultra-Bounce Anti-Drop Technology 4.0, yang dibangunkan untuk membantu peranti menghadapi hentaman dengan lebih baik apabila berlaku kejadian terjatuh.

Teknologi berkenaan diinspirasikan daripada sistem keselamatan Halo yang digunakan untuk melindungi pelumba Formula 1. Ia menggabungkan struktur berbentuk lengkungan, pengukuhan logam berketahanan tinggi serta penggunaan pelekat pada keseluruhan permukaan bagi membantu menyerap dan mengagihkan daya hentaman.

HONOR turut menggunakan pelekat PUR tahan ricih yang menawarkan kira-kira 10 kali ganda rintangan ricih berbanding pelekat belakang konvensional. Struktur tersebut membantu memastikan skrin kekal kukuh ketika berlaku hentaman sambil mengagihkan daya ke kawasan yang lebih luas.

Hasilnya, HONOR X9e Pro mampu menahan jatuhan dari ketinggian sehingga tiga meter dan membantu mengurangkan risiko kerosakan skrin sehingga 82 peratus. Peranti ini turut memperoleh Pensijilan 5-Bintang SGS untuk Ketahanan Jatuhan dalam Keadaan Ekstrem.

Dalam sesi taklimat media baru-baru ini, HONOR turut memperlihatkan kemampuan peranti tersebut menerusi beberapa ujian ketahanan. Antaranya termasuk mengetuk paku ke dalam kayu, menerima hentaman bebola logam yang dilancarkan menggunakan lastik serta ditembak menggunakan senapang angin dalam keadaan terkawal.

Rintangan air sehingga 10 meter

Ketahanan X9e Pro bukan hanya berkaitan jatuhan. HONOR turut memberikan perhatian kepada perlindungan daripada air dengan penarafan IP68, IP69 dan IP69K.

Peranti ini menggunakan seni bina berbilang ruang yang diinspirasikan daripada kapal selam bagi membantu melindungi komponen dalaman. Paparan, bingkai tengah dan penutup belakang membentuk ruang kedap berasingan, manakala bahagian seperti butang, pembesar suara, port USB-C dan dulang SIM turut diberikan perlindungan secara berasingan.

Dengan struktur tersebut, HONOR X9e Pro mampu bertahan pada kedalaman sehingga 10 meter dalam keadaan terkawal. Angka ini meningkat dengan ketara berbanding kedalaman 1.5 meter pada generasi sebelumnya.

Keupayaan itu turut membuka ruang untuk fotografi bawah air, termasuk aktiviti selam bebas pada kedalaman sehingga 10 meter dalam keadaan terkawal. HONOR menyatakan peranti berkenaan turut diuji sehingga 100,000 kitaran rendaman serta melalui ujian semburan garam berterusan selama 24 jam.

Bateri 11,000mAh untuk penggunaan lebih lama

Namun, antara perkara paling mencuri perhatian pada HONOR X9e Pro ialah baterinya. Telefon ini diperkenalkan sebagai telefon pintar pertama di dunia yang dilengkapi bateri berkapasiti 11,000mAh, jauh lebih besar berbanding kapasiti 8,300mAh yang digunakan pada generasi sebelumnya.

Kapasiti besar tersebut direka untuk memenuhi keperluan pengguna yang semakin bergantung kepada telefon bagi pelbagai urusan, daripada menonton video dan bermain permainan sehinggalah bekerja, berkomunikasi dan melayari media sosial sepanjang hari.

Walaupun mempunyai bateri yang besar, X9e Pro hanya mempunyai ketebalan 8.08mm dan berat 203 gram. HONOR mendakwa baterinya mampu memberikan sehingga 66.8 jam main balik video dan sehingga tiga hari penggunaan biasa dengan satu pengecasan.

Apabila perlu dicas, 80W HONOR SuperCharge disediakan bagi membantu mempercepatkan proses pengecasan. Peranti ini turut menyokong pengecasan berbalik berwayar 27W untuk mengecas telefon pintar lain yang serasi, termasuk peranti iPhone dan Apple.

HONOR turut memberi perhatian kepada jangka hayat bateri dengan sistem pengurusan kuasa berkecekapan tinggi yang menyokong ketahanan bateri sehingga enam tahun untuk prestasi yang konsisten.

Paparan 10,000 nits untuk kegunaan luar

HONOR X9e Pro dilengkapi paparan bersaiz 6.8 inci dengan kadar segar semula 120Hz. Gabungan tersebut memberikan pengalaman yang lebih lancar ketika menatal media sosial, melayari kandungan atau menonton video.

Namun, tarikan utama paparan ini ialah tahap kecerahan puncak sehingga 10,000 nits. Tahap kecerahan tersebut direka untuk memastikan kandungan pada skrin lebih mudah dilihat ketika telefon digunakan di bawah cahaya matahari yang terang.

HONOR turut membawa beberapa ciri dalam rangkaian Eye Comfort Technology bagi memberikan keselesaan lebih baik ketika penggunaan berpanjangan. Antaranya termasuk AI Defocus Display, Motion Sickness Relief, Circadian Night Display dan DOT Eye Comfort Protection.

Kamera 108MP dengan penstabilan CIPA 6.0

Dari segi fotografi, HONOR X9e Pro menggunakan kamera utama Ultra-Jelas 108MP dengan penstabilan imej tahap CIPA 6.0. Teknologi tersebut sebelum ini diperkenalkan pada HONOR 600 Pro dan kini dibawa ke Siri X.

Sistem penstabilan ini direka untuk membantu menghasilkan gambar serta rakaman yang lebih stabil dalam pelbagai keadaan. Ia termasuk ketika mengambil gambar pada waktu siang, malam, aktiviti luar atau ketika subjek sedang bergerak.

HONOR turut menggunakan teknologi Underwater Color Tuning untuk fotografi bawah air. Fungsi ini membantu mengurangkan tona biru dan hijau yang biasanya lebih ketara dalam gambar bawah air supaya warna kelihatan lebih semula jadi.

AI semakin memainkan peranan

Selain perkakasan kamera, HONOR X9e Pro turut hadir dengan beberapa fungsi AI yang direka untuk membantu pengguna menghasilkan kandungan dengan lebih mudah.

AI Zoom Enhancement membantu memulihkan perincian pada subjek yang jauh, manakala AI Night Enhancement membantu mengekalkan perincian imej dalam keadaan pencahayaan rendah. Untuk fotografi potret pula, AI Enhanced Portrait membantu menghasilkan rakaman manusia dengan penampilan yang lebih kemas.

Pengguna yang gemar menghasilkan kandungan bergerak boleh memanfaatkan AI Moving Photos, yang merangkumi fungsi seperti Motion Trail, Motion Clone dan Slow Motion. Fungsi tersebut memberikan lebih banyak pilihan kreatif berbanding gambar statik biasa.

Turut tersedia ialah AI Image to Video 2.0, yang membolehkan gambar statik diubah menjadi video menggunakan arahan ringkas. Fungsi ini sebelum ini diperkenalkan pada Siri HONOR 600 dan kini diperluaskan kepada X9e Pro.

Ciri pintar untuk penggunaan harian

HONOR turut membawa beberapa fungsi AI dan pintar yang lebih praktikal ke dalam penggunaan harian. Antaranya ialah AI Free Grip Call, yang membolehkan butang panggilan dipaparkan pada kedua-dua sisi skrin supaya pengguna boleh menjawab panggilan menggunakan sebelah tangan.

Ciri tersebut direka untuk keadaan tertentu seperti ketika berjalan atau melakukan aktiviti yang memerlukan pengguna mengekalkan pegangan lebih kukuh pada telefon.

HONOR X9e Pro turut menyokong Instant NFC Access, membolehkan telefon digunakan sebagai kad akses bangunan di lokasi yang menyokong fungsi berkenaan. Ini menambahkan lagi fungsi telefon sebagai peranti yang bukan sekadar digunakan untuk komunikasi dan hiburan.

Snapdragon 6 Gen 5 untuk penggunaan jangka panjang

Dari segi prestasi, HONOR X9e Pro dikuasakan oleh Snapdragon 6 Gen 5 Mobile Platform. Cipset tersebut digabungkan dengan HONOR Hummingbird Architecture 2.0 yang menggabungkan pengoptimuman perkakasan dan perisian.

Menurut HONOR, pendekatan tersebut direka untuk mengekalkan pengalaman penggunaan yang lancar dan responsif sehingga 72 bulan. Ini memberikan tumpuan kepada penggunaan jangka panjang, terutama bagi pengguna yang mahu menggunakan telefon untuk beberapa tahun sebelum menaik taraf kepada model baharu.

HONOR Rakyat Care+ beri perlindungan tambahan

Selain meningkatkan ketahanan fizikal peranti, HONOR turut memperkenalkan pelan perlindungan baharu HONOR Rakyat Care+ untuk X9e Pro.

Pelan tersebut merangkumi penggantian skrin retak depan dan belakang selama 730 hari, perlindungan kerosakan akibat cecair selama 730 hari serta jaminan tambahan satu tahun.

Secara keseluruhan, pakej ini memberikan perlindungan tambahan sehingga dua tahun terhadap kerosakan tertentu akibat kemalangan dan kejadian tidak dijangka, sekali gus melengkapkan pendekatan HONOR yang memberi penekanan kepada ketahanan peranti.

Harga dan tawaran pra-tempahan

HONOR X9e Pro hadir dalam empat pilihan warna iaitu Royal Purple, Reddish Brown, Dawn Gold dan Midnight Black. Varian 256GB ROM dengan 24GB RAM, terdiri daripada 8GB RAM + 16GB HONOR Turbo RAM, dijual pada harga RM1,899.

Bagi pengguna yang memerlukan ruang storan lebih besar, varian 512GB ROM pula ditawarkan pada harga RM2,399. Pra-tempahan dibuka sehingga 8 Oktober dengan rebat segera RM100 bagi pelanggan yang membuat bayaran penuh.

Dalam tempoh promosi tersebut, pelanggan turut menerima pakej hadiah percuma bernilai sehingga RM1,626 yang merangkumi HONOR Pad X7 WiFi, penggantian skrin retak depan dan belakang selama 730 hari, perlindungan kerosakan cecair selama 730 hari serta jaminan tambahan satu tahun.

Pra-tempahan boleh dibuat di semua HONOR Experience Store di seluruh negara, laman web HONOR, kedai rasmi HONOR di Shopee, Lazada dan TikTok Shop serta melalui pengedar sah.

HONOR Pad 20 turut diperkenalkan

Selain X9e Pro, HONOR turut menggunakan pelancaran kali ini untuk memperluaskan barisan AIoT di Malaysia. Buat pertama kali, syarikat memperkenalkan HONOR Pad 20 Pro dan HONOR Pad 20, dua tablet yang menyasarkan pengguna yang mahukan peranti mudah alih untuk kerja, pembelajaran dan hiburan.

HONOR Pad 20 Pro menampilkan paparan 12.1 inci 3K Paper-like Anti-glare dengan kadar segar semula 165Hz. Ia menggunakan penyelesaian AG dwi-lapisan serta filem optikal yang direka untuk menghasilkan pengalaman visual dan sentuhan seakan kertas, selain mengurangkan silau sebanyak 50 peratus dan menyingkirkan 99 peratus gangguan cahaya persekitaran.

HONOR Pad 20 pula hadir dengan paparan 12.1 inci 3K Ultra True Color pada kadar segar semula 120Hz. Kedua-dua tablet menyokong PC Mode, berbilang tetingkap dan susun atur skrin pisah, selain WPS Office bertaraf PC bagi tugasan seperti dokumen, hamparan, pembentangan dan PDF.

Untuk prestasi, HONOR Pad 20 Pro menggunakan Snapdragon 8s Gen 4, manakala HONOR Pad 20 dikuasakan Snapdragon 7 Gen 3. Kedua-duanya mempunyai bateri 10,100mAh.

HONOR Pad 20 Pro ditawarkan pada harga RM2,499 bagi konfigurasi 16GB RAM + 256GB ROM, manakala HONOR Pad 20 Wi-Fi berharga RM1,999 dengan 12GB RAM + 256GB ROM. Versi HONOR Pad 20 5G pula berharga RM2,299 dengan 16GB RAM + 256GB ROM.

Pelajar yang layak turut boleh menikmati diskaun pendidikan eksklusif sebanyak 15 peratus untuk Siri HONOR Pad 20, dengan harga serendah RM1,699.15. Siri tablet ini juga hadir bersama hadiah percuma bernilai sehingga RM898 termasuk papan kekunci pintar Bluetooth dan HONOR Magic-Pencil 4S.

Lengkap dengan Watch 6, AI Note dan kamera keselamatan

Barisan AIoT HONOR diteruskan dengan HONOR Watch 6, yang menggabungkan reka bentuk nipis dan ringan bersama ciri kesihatan serta kecergasan. Jam pintar ini menyokong sehingga 120 mod senaman termasuk mod profesional untuk badminton dan bola sepak, selain menawarkan jangka hayat bateri sehingga 35 hari.

HONOR Watch 6 tersedia dalam warna Shadow Black dengan tali Fluoroelastomer pada harga RM699, manakala versi Twilight Brown dengan tali kulit berharga RM799. Jam tersebut turut mempunyai NFC untuk fungsi tambahan seperti akses pintu di lokasi yang menyokong ciri berkenaan.

Sementara itu, HONOR AI Note hadir sebagai kad magnetik ultra-nipis yang boleh dilekatkan pada telefon pintar HONOR. Peranti ini boleh digunakan untuk merakam suara, menukar pertuturan kepada teks dalam lebih 130 bahasa, melakukan transkripsi audio, pengecaman peta minda, terjemahan AI dan soal jawab pintar. HONOR AI Note ditawarkan pada harga RM699.

Melengkapkan barisan tersebut ialah HONOR CHOICE Security Camera, kamera keselamatan yang menawarkan pengimejan 3MP, kualiti video 2K dan putaran 360 darjah. Ia turut dilengkapi fungsi penjejakan pintar untuk mengikuti pergerakan dalam bilik secara automatik dan ditawarkan pada harga RM129.

Dengan pelancaran HONOR X9e Pro dan barisan AIoT ini, HONOR bukan sahaja memperkenalkan satu lagi telefon pintar baharu dalam segmen kelas pertengahan, tetapi turut memperluaskan pilihan peranti yang boleh digunakan bersama dalam kehidupan seharian. X9e Pro menjadi tumpuan utama menerusi gabungan bateri 11,000mAh, ketahanan ekstrem, paparan 10,000 nits, kamera 108MP dan fungsi AI, manakala produk seperti HONOR Pad 20, Watch 6, AI Note dan CHOICE Security Camera melengkapkan ekosistem yang semakin luas.

Semua produk berkenaan boleh didapati melalui HONOR Experience Store, laman web rasmi HONOR serta kedai rasmi HONOR di Shopee, Lazada dan TikTok Shop. Maklumat lanjut mengenai produk dan tawaran terkini boleh didapati di laman rasmi HONOR Malaysia.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat