Dalam dunia perniagaan digital yang semakin kompetitif, jumlah jualan tidak lagi menjadi satu-satunya ukuran kejayaan sesebuah perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Di sebalik angka transaksi yang meningkat, wujud persoalan lebih besar yang perlu diberi perhatian oleh usahawan, iaitu berapa kos untuk mendapatkan pelanggan, berapa ramai yang kembali membeli dan sejauh mana hubungan antara pelanggan dengan sesebuah jenama mampu bertahan dalam jangka panjang.
Perubahan tingkah laku pengguna serta perkembangan pesat ekonomi digital turut menyebabkan PKS perlu memikirkan semula cara mereka mengembangkan perniagaan. Platform e-dagang sememangnya membuka ruang kepada usahawan untuk mencapai pasaran lebih luas, namun kebergantungan sepenuhnya kepada platform pihak ketiga boleh mengehadkan kawalan terhadap data pelanggan, pengalaman pembelian dan hubungan yang dibina dengan pengguna.
Atas keperluan itu, Pos Malaysia Berhad tampil menerusi SME Jumpstart Workshop 2026 dengan membawa pendekatan yang lebih menyeluruh kepada pertumbuhan PKS. Bertemakan “Scale Beyond Marketplaces to D2C”, bengkel ini memberi tumpuan kepada bagaimana usahawan boleh bergerak daripada sekadar bergantung kepada platform e-dagang kepada model perniagaan terus kepada pengguna atau direct-to-consumer (D2C).
Pendekatan D2C memberi peluang kepada pemilik perniagaan untuk membina saluran jualan sendiri melalui laman web, media sosial dan program kesetiaan pelanggan. Lebih penting, ia membolehkan usahawan membina hubungan secara langsung dengan pelanggan serta memahami tingkah laku dan keperluan mereka dengan lebih baik.
Menurut Ketua Pegawai Jualan Kumpulan Pos Malaysia, Charles William, usahawan perlu melihat lebih jauh daripada jumlah jualan semata-mata sekiranya mahu membina perniagaan e-dagang yang benar-benar menguntungkan.
Katanya, pemilik PKS perlu memahami nilai pelanggan, termasuk kos pemerolehan pelanggan dan kadar pembelian berulang. Dengan menjual secara terus kepada pengguna, perniagaan berpeluang memiliki data dan hubungan pelanggan sendiri, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada algoritma, struktur yuran atau perubahan dasar platform pihak ketiga.
Pendekatan sedemikian juga membuka ruang kepada PKS untuk memberi lebih perhatian kepada pembelian berulang dan kesetiaan pelanggan. Dalam jangka panjang, pelanggan yang kembali kepada sesuatu jenama bukan sekadar menyumbang kepada hasil jualan, malah boleh menjadi asas kepada pertumbuhan perniagaan yang lebih konsisten.
Justeru, SME Jumpstart Workshop 2026 direka untuk membantu usahawan beralih daripada pemikiran yang hanya mengejar jumlah jualan kepada usaha membina keuntungan yang lebih mampan. Bengkel sehari itu menghimpunkan pengasas perniagaan, pemimpin industri, pakar bidang, rakan ekosistem dan agensi sokongan untuk berkongsi pengalaman serta strategi yang boleh diterapkan oleh PKS.
Antara penceramah yang akan tampil ialah Charles William, Datuk Wira Dr. Azizan Osman daripada RichWorks dan Edwin Wang, Pengasas Bersama Signature Market, selain pakar industri serta rakan ekosistem lain.
Menerusi pembentangan utama, perkongsian pengalaman pengasas, sesi perbincangan bersama pakar dan forum panel interaktif, peserta akan didedahkan kepada pelbagai aspek pertumbuhan perniagaan termasuk strategi D2C, pemerolehan pelanggan, pembinaan jenama, kesiapsiagaan digital, pembiayaan PKS, logistik serta pengembangan perniagaan secara mampan.
Menariknya, perhatian turut diberikan kepada cara PKS meningkatkan kebolehlihatan dalam talian ketika kaedah pengguna mencari maklumat dan produk terus berubah. Peserta akan diperkenalkan kepada pendekatan seperti SEO (Search Engine Optimisation), AEO (Answer Engine Optimisation) dan GEO (Generative Engine Optimisation) bagi membantu perniagaan meningkatkan peluang untuk ditemui menerusi enjin carian, enjin jawapan dan platform penemuan berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Elemen praktikal turut menjadi sebahagian daripada pengalaman bengkel apabila peserta berpeluang berinteraksi secara langsung dengan pakar di setiap reruai. Mereka boleh mendapatkan pandangan berkaitan transformasi digital, pemasaran, penglibatan pelanggan, pematuhan, pembiayaan, logistik, pemenuhan pesanan serta peluang pengembangan ke pasaran serantau.
Peserta yang melengkapkan pasport reruai dengan cop yang diperlukan juga boleh menebus beg cenderamata eksklusif yang mengandungi produk percuma, tawaran istimewa dan hadiah daripada rakan penganjur.
Dalam konteks ini, peranan Pos Malaysia dalam ekosistem PKS turut berkembang seiring dengan perubahan landskap perdagangan. Selain menyediakan perkhidmatan penghantaran, syarikat itu kini memberi tumpuan kepada keperluan perniagaan yang lebih luas merangkumi logistik, pemenuhan pesanan dan sokongan kepada perdagangan digital.
Dengan rangkaian penghantaran jarak akhir yang meluas, rangkaian runcit di seluruh negara serta keupayaan logistik bungkusan, Pos Malaysia berperanan membantu PKS menguruskan perjalanan produk daripada pesanan sehingga sampai kepada pelanggan. Kecekapan pada peringkat ini penting kerana pengalaman penghantaran juga boleh mempengaruhi persepsi pelanggan terhadap sesuatu jenama.
SME Jumpstart Workshop 2026 turut dilaksanakan dengan kerjasama rakan ekosistem termasuk Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), FundedHere, Infobip, Luxana Technologies, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), NP Digital, RichWorks Consulting Group dan SME Corp. Malaysia.
Kerjasama pelbagai pihak ini memperlihatkan bahawa pertumbuhan PKS bukan hanya bergantung kepada pemasaran atau jualan. Ia turut memerlukan akses kepada pembiayaan, teknologi, pengetahuan, pematuhan, rangkaian perniagaan serta sistem logistik yang mampu menyokong perkembangan syarikat apabila permintaan semakin meningkat.
Penganjuran sulung SME Jumpstart Workshop ini juga menjadi permulaan kepada platform penglibatan PKS yang lebih menyeluruh oleh Pos Malaysia. Siri bengkel bertema lain akan diumumkan pada masa akan datang, dengan tumpuan kepada penyediaan kepakaran, rangkaian industri dan penyelesaian praktikal yang boleh membantu perniagaan berkembang secara lebih mampan.
Bagi usahawan, cabaran sebenar dalam ekonomi digital hari ini mungkin bukan sekadar bagaimana mendapatkan pelanggan baharu, tetapi bagaimana memastikan pelanggan mempunyai sebab untuk kembali. Daripada sekadar memenuhi pesanan, PKS perlu membina jenama, pengalaman dan hubungan yang mampu bertahan lebih lama.
Di situlah pendekatan D2C menjadi semakin relevan. Ia bukan semata-mata tentang menjual melalui saluran sendiri, tetapi mengenai usaha membina perniagaan yang lebih dekat dengan pelanggan, memahami nilai mereka dan mengembangkan hubungan tersebut menjadi pertumbuhan jangka panjang.
Pos Malaysia SME Jumpstart Workshop 2026 akan berlangsung pada Rabu, 7 Oktober 2026, dari 8.30 pagi hingga 4.30 petang di Courtyard by Marriott Kuala Lumpur South. Tiket ditawarkan pada harga RM90, manakala pendaftaran ditutup pada 30 September 2026 dan tempat adalah terhad.
Usahawan, pemilik perniagaan serta bakal pengasas yang ingin memahami strategi untuk mengembangkan perniagaan melangkaui platform e-dagang boleh mendapatkan maklumat lanjut dan membuat pendaftaran melalui platform Ticket2U.



