KUALA LUMPUR – Pas tidak akan memberikan kerusi yang dimenanginya kepada Umno di negeri lain sekiranya parti itu tidak bersedia memberi laluan kepada Pas untuk bertanding di Melaka.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, rundingan pembahagian kerusi antara kedua-dua parti itu sedang berjalan, namun beliau enggan mengulas lanjut kerana tidak mahu mendahului keputusan pimpinan parti.
“Perundingan sedang berjalan. Nampak macam ding dong, ding dong juga.
“Kalau mereka tak bagi kerusi kita di Melaka, kita pun tak bagi kerusi kita di tempat lain. Kalau mereka bagi kerusi mereka di Melaka, kita pun boleh bagi kerusi kita di tempat lain.
“Sebanyak mana hangpa berkorban, kami juga akan berkorban sebanyak itu. Simple saja,” katanya.
DUN Melaka dibubarkan berkuat kuasa 23 September bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, dan perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.
Sanusi berkata, dalam rundingan berkenaan, Pas tidak mahu mengambil pendekatan yang boleh merugikan parti itu atau hanya satu pihak memperoleh keuntungan manakala kerugian di pihak lain.
“Tak mahu rugikan parti. Ibarat berniaga, tak untung tak apa, jangan rugi. Makan modal kita tak mahu.
“Tempat mereka, kita hormat mereka. Tempat kita, mereka hormat kita,” katanya.
Menurutnya, PRU16 bakal menjadi ‘ibu segala pilihan raya’ dan Pas perlu bekerja bersungguh-sungguh bagi mempertahankan kawasan dimenangi selain memperluaskan pengaruhnya di negeri-negeri lain.
Sanusi berkata, Pas kini menguasai negeri-negeri di utara dan Pantai Timur termasuk Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu, selain menyasarkan memperluaskan pengaruh ke Pahang, Selangor, Perak, Sarawak selain Melaka.
“Kita boleh cuba juga di Pulau Pinang. Bukan semua orang Cina itu DAP. Yang meluat dengan DAP berlambak. Tak mustahil Pulau Pinang pun DAP boleh jatuh.
“Pakat-pakat doa, pakat-pakat tolong. Kita ambil semua negeri di Semenanjung. Lepas itu kita buat cara baharu. Ikutlah cara Pas,” katanya.
Sanusi turut menegaskan keperluan bekerjasama dengan UMNO di beberapa negeri, termasuk Perak, bagi menggabungkan kekuatan politik pembangkang menjelang PRU16.
“Mahu tak mahu, suka tak suka, kena pakat dengan Umno termasuk di Perak. Saya harap kekalkan kemenangan Pas di Perak.
“Ada negeri yang kita dapat setelah berpakat dengan UMNO. Ada negeri yang kita dah ada dalam tangan walaupun tak pakat dengan Umno,” katanya. Sanusi berkata, usaha menggabungkan kekuatan politik perlu didasari kepentingan negara yang lebih besar berbanding kepentingan parti atau peribadi.
“Masanya telah sampai untuk kita ketepikan semua kepentingan lain. Letak kepentingan nombor satu, iaitu tumbangkan Pakatan Harapan (PH). Nak tumbang macam mana? Kita bincang.
“Usaha sedang dibuat oleh pimpinan untuk menggabungkan semua kekuatan, bagi menewaskan PH dalam PRU16,” katanya.
Tambah Sanusi, penyatuan ummah yang diusahakan PAS-UMNO akan terus diberikan tekanan oleh PH bagi mengagalkan usaha itu.
“Setelah datang gerombolan besar ini, PH akan ranap sama sekali. Untuk itu, mereka berusaha gagalkan penyatuan ummah. Maka direka macam-macam, cucuk sana, cucuk sini. Bina persepsi, naratif, melaga-lagakan kita supaya penyatuan ummah gagal, jadi mereka dapatlah talian hayat.
“Kita lupakanlah titik beza dan sejarah lampau yang pahit. Apabila penyatuan ummah berlaku, manisnya ada di depan. Kita boleh rayakan kemenangan penyatuan umat Islam, rakan-rakan bukan muslim yang tidak ekstrem, boleh hidup harmoni bersama kita,” katanya.
Beliau turut mengingatkan jentera Pas supaya mematuhi arahan pimpinan dan tidak terpengaruh dengan pandangan individu yang boleh menjejaskan kesatuan parti.
“Bila ada arahan, orang Pas akan patuh walaupun tidak mudah untuk PAS melupakan semua itu.
“Bekerjalah bersungguh-sungguh, jangan malas dan patuh arahan pimpinan negeri dan Pusat. Jangan dengar individu-individu tertentu yang mengecewakan atau merajuk,” katanya memetik Kedah Online.
Tambah beliau jentera Pas perlu mengutamakan disiplin, kesabaran serta kepatuhan kepada arahan pimpinan.
“Kita berjihad secara aman melalui pilihan raya. Masuklah pilihan raya dengan bekerja bersungguh-sungguh, patuh arahan pimpinan, berdisiplin, sabar.
“Pastikan Pas, Perikatan Nasional menang. Tewaskan Pakatan Harapan dengan apa cara sekalipun,” katanya.


