Umno anjur Konvensyen Melayu Bandar 3 Okt ini tambah baik RUU URA

KUALA LUMPUR – Konvensyen Melayu Bandar yang akan mengkhususkan kepada perbincangan mengenai Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) atau URA bakal dianjurkan pada 3 Oktober ini.

Ketua Pasukan Khas Umno untuk penambahbaikan Rang Undang-Undang (RUU) Akta URA Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, konvensyen tersebut membuka peluang kepada masyarakat untuk memberi pandangan seterusnya mencipta satu resolusi terhadap segala isu yang dibangkitkan.

“Hari ini ada sesi libat urus dengan 40 orang daripada peringkat parti, masyarakat dan badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)… datang bincang dengan saya soal Akta URA dan kita telah memutuskan untuk mengadakan Konvensyen Melayu Bandar pada 3 Oktober di bangunan Umno ini selepas Solat Jumaat.

“Kita anjurkan konvensyen ini adalah untuk menjemput sesiapa sahaja yang nak datang mendengar, sama ada menjadi ‘speaker’ untuk bercakap pasal Akta URA ini dan akhirnya kita akan buat satu resolusi hasil daripada perbincangan tersebut.

“Harapan kita ialah nak melihat bahawa Akta URA ini mengambil kira pandangan masyarakat di bawah khususnya kerana ‘redeveloment’ yang berlaku melibatkan kawasan-kawasan perumahan, majoritinya diduduki oleh masyarakat berpendapatan rendah,” lapor Umno Online.

Beliau yang juga Naib Presiden Umno merangkap Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, kelemahan Akta Hak Milik Strata dan Akta Pengambilan Tanah 1960 menjadi perkara yang sering diutarakan oleh rakyat.

“Apabila kawasan berpendapatan rendah, sudah tentu mereka prihatin akan daripada segi macam mana kita mengendalikan demografi dalam kawasan tersebut dan sebagainya. Banyak isu dan kemudian ramai juga yang mempertikaikan kepada saya bahawa kenapa perlu adanya Akta URA ini. Mereka memberi alasan bahawa kita dah ada Akta Hak Milik Strata dan Akta Pengambilan Tanah 1960.

“Kenapa kalau ada kelemahan dalam kedua-dua akta ini… tidak kita ubah Akta Pengambilan Tanah 1960 supaya tidak ada ‘abuse’? Kemudian kalau ada Akta Hak Milik Strata ini, ada akta-akta yang tidak ‘cover’ daripada segi kecekapan ‘management community’.

“Mungkin kita buat URA ini kerana ia menjadi satu kesalahan untuk mendesak orang supaya bersetuju bagi membuat pembangunan semula. Inilah dua benda yang banyak diutarakan kepada kita,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa Akta URA perlu diperhalusi dengan mengambil kira pandangan masyarakat khususnya orang awam sebelum dibentangkan di Parlimen.

“Mereka mempersoalkan kenapa nak perlu ada satu akta yang baharu? Jadi, kita nak dengar apa yang mereka mahu sampaikan semasa konvensyen nanti. Maka, saya meminta mereka untuk bersuara dan memberikan justifikasi. Saya hanya mengkoordinasikan sahaja.

“Keputusan saya dan orang-orang awam secara perseorangan sahaja tidak mencukupi jadi kita nak tengok apa pandangan masyarakat,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat